Sunday, May 23, 2010

JENDELA MALAM

Kutulis puisi ini hanya buat kamu
ketika segalanya
tidak terbendung lagi
aku hanya mendengar
hujan bernyanyi
memanggil namaku
merembas bayu

puas sudah kutulis
namamu di mana- mana
puas kulukis wajahmu
pada setiap ingatan indah
gelisah daun daun senja
melambai lambai mesra
memutik melor di tangga

hujan itu pun dia
bagaimanakah dapat aku menahan rindu menerpa
dari menyusup masuk sewenang wenangnya saja
kerana jendela itu pun telah terbuka
seluas-luasnya buat dinda.

INSPIRASIKU

Aku harap segalanya kembali keindahnya
kembali membancuh warna
dan menulis sesuatu
tentang diriku yang pelupa

terlalu banyak inginku tuliskan
tetapi aku sudah berada di antara
banyak persimpangan
dan aku tidak ingat lagi
di mana cerita ini harus bermula

aku berjanji
untuk menjadi seseorang yang lebih baik
teliti dan sabar
aku akan teruskan perjuangan ini
impianku sejauhnya
walaupun mungkin suatu hari
tidak lagi akan dihargai

aku akan terus mencuba
mengharunginya
untuk melupakan
perit jerih sakitnya
luka silam dulu

maafkan aku
jika mungkin nanti merindui kamu
menghayati indah itu
aku ingin menyentuh kenangan
sesejuk embun di taman

kau inspirasiku
puisiku lagu
lukisan tercantik terindah
tertulis rindu di mana- mana
manis senyumu tidak dapat kulupa
walau pun berjauhan
bayanganmu akan terus bersama
aku hanya ingin melukis wajahmu
membelainya dengan lembut warna.

AKU HANYA BIASA

Aku tidak punya apa- apa
aku hanya memiliki kata
hanya kata- kata indah buatmu
ingin kugubah menjadi puisi
ketika teratai di kolam
berkembang merah

aku hanya insan biasa
menulis didalam gelap
tanpa lampu hanya rindu
bisikan perlahan kutunggu
bulan penuh beradu
tergantung harap di langit
mula beredar ke sisi
ranting sunyi

rindu ini ingin kukumpulkan
menjadi daun menjadi pohon
gunung biru menjauh
persinggahan burung- burung terbang
kewalahan siang
bakal menyaksikan
calar kehidupanku patah
jatuh dan terbuang.

Wednesday, May 19, 2010

PUISI SYURGA KEKASIH

Puisi syurga pengubat jiwa
hamparan alam memujuk lara
putih hati berbunga bunga
hadapilah dengan tenang
segala rintangan
pegang kejujuran
tanda setia
kaulah kerinduanku
yang beterbangan
memetik gemilang
cahaya bekerlipan
dari bintang bulan
kau taburkan ke serata alam
segala keindahan
di luar jangkauan

aku hanya insan biasa
namun hati akan tetap memuja
merangkai kalungan bunga
anika warna
berbagai aroma
sebagai hantaran
pembuka kata
pengikat sukma
kerana kau lah satu satunya
bidadari malam
pembawa cahaya
yang selamanya kutunggu
yang teristimewa
begitu kurindu
bersayap permata.

Monday, May 17, 2010

PENUNGGU RINDU

Sunyi sebentar cinta ini
saperti berteduh dipohon tinggi
terlelap di rimbunan
sambil menghela nafas
ketenangan

kekasih
semilir angin bernyanyi perlahan
nyaman terasa di kehijauan
kutunggu kamu di bangku putih ini
mengintai merah teratai di kolam
melirik bagai manis senyummu
yang selamanya
cukup membahagiakan

kekasih
kerinduan ini membuat aku diam
menahan sebak menyentak
menyesak dada
tersekat tidak lepas
bagai lukisan yang belum siap
bagai kata indah tidak terucap

kekasih
akulah penunggu rindu
tidak henti henti bermimpi
tertidur terjaga
tertunggu tunggu
selimut tenunan halusmu
bersulam kasih bunga penuh
Pua Kumbu.
Saya bersama ayah. Ibu bersama adik adik.
Bakhtiar dan Muhamad Sani diribaan.

Thursday, May 13, 2010

ANUGERAH TERINDAH

Kekasih
ketika aku terkepung payah
Kau hanya hantarkan isyarat susah
namun aku masih tidak mengerti
bahasa alam yang tersembunyi
zat yang bergetaran
mengelilingiku
memuji muji
bernyanyi nyanyi
gemersik merdu

Kekasih
aku terus bertanya lagi
Kau tidak menjawabnya
Kau bukakan jalan
Kau letakkan aku di tengah
laluan pengalaman
Kau berikan ilham
agar aku lebih faham
batas kemampuan
dimana letaknya kekuatan
ketabahan
kelebihan dari segala kesakitan
suatu anugerah terindah

...tiba tiba Kau ada
di depanku
menepis kesangsian.

Tuesday, May 11, 2010

SYAHDU DI KALBU

Kekasih
Seandainya aku hilang
apakah kau akan mencarinya
sekiranya aku sakit
sanggupkah kau merawatnya
sekiranya aku lemas
sepantas itu kah
mahu menarik aku
kemas kepangkuan

jika kukatakan cinta
dapatkah kau merasainya
jika kukatakan rindu
dapatkah kau sambut
kedua tanganku

kekasih
aku ingin mendakap ketenangan
apakah kau akan diam.

SAYA BERSAMA IBU -FATIMAH BIDIN


Saya ketika berumur 3 bulan.

Monday, May 10, 2010

MAK LAGU NI LA KAMI SEBENAKNYA NAK HABARK BAGI

Lama sungguh mak dok tunggu kat sana
lama dok tunggu cek balik kat hutan kita
lalang panjang
lana dok naik peredu pisang
getah banyak tumbang
kolam ikan kering kontang
bukan main payah

kesian mak
susah payah dok sana
sakit pun sorang sorang
tak dak orang nak jaga
orang pelari lembu
kawark pun banyak

mak
la ni pak pun dah tak dak
banyak susah mak dah lalu
kurus kering
makan hati
lagu ni la kerja kami
sebenaknya
nak habark bagi
kalut memanjang
perambat sana perambat sini

tapi mak kami dok ingat jugak
gulai mak tak boleh celen
gulai rebung ikan rewan masin
eih.. sedap sungguh

mak
rindu sungguh cek kat mak
mak janganla dok teriak
basah lencun baju cek
awatnya rindu sangat ka

lepas ni cek pun nak balik dok sana
cek suka sungguh mandi ayaik telaga
makan jeruk maman
cicah ulam pegaga
sambil pekena ayaik nyiok
dok atas tangga
kepala pening tinggai celepa.

( Dalam Dialek orang utara ).

Wednesday, May 05, 2010

HUJAN HUJAN RINDU

Aku ada sesuatu
tersembunyi
hingga tidak tidur malam
tidak senang diam
tidak mahu makan
kelaparan
terbayang bayang
terlepas kata
terbang
tersisa terbuang
tenggelam

terbang rinduku
bukan aku
hanya rinduku itu
terus terbang tercari cari
kemana mana kekasihku
menghilang pergi

rinduku mendung
rinduku gelap penuh
terkumpul di langit
sarat bergulung
hingga bait bait puisi
tertangguh sunyi

hujan hujan rindu
meronta dihatiku
mendesak mahu turun semuanya
melimpah kasih
melebat padamu.