Thursday, September 25, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI











maaf zahir dan batin buat semua kenalan,saudara, teman dan sahabat. Semoga gembira di hari yang mulia ini.

Friday, September 12, 2008

TETAMU KECIL

Sehelai daun kuning
begitu lama kering
gugur dari pohon tinggi
melayang- layang terbang
jatuh kedalam pingganku
apakah maknanya itu
tentu ada sesuatu

jangan menduga
simpan saja
walau tidak berharga
walau tidak secantik mana
ia tetap bernama

siapa tahu
suatu waktu
ia menjadi perlu
menjadi sangat berharga
simpan di kocekmu
ia mungkin menjadi rahsia
ada sesuatu disebaliknya
walau tanpa kata- kata
ia tetap membawa makna
tunggulah jawapannya
disuatu masa
sewaktu engkau mula dilupa.

KOTA SENDA SANDIWARA

Di kota ini hanya tinggal
sekepal cinta setia
selebihnya keraguan
selepas muncul kecurangan
tumpas pada godaan

di kota senda sandiwara
janji jadi gula
kita diketawakan kawan
kerana kita mudah memaafkan
hati putih milik kita
terpedaya dengan kata berbunga
cerita sedihnya berbagai dalih
berkali- kali kita terkena
besuknya kita sudah terlupa
perit serik sakitnya

di kota ini hanya tinggal
cebisan senyuman
kesabaran buat bekalan pulang
diseparuh jalan
manisnya hilang.

DAUN KETUPAT


Pada sesiapa yang tak kenal dan yang sudah lupa daun ketupat inilah dia,gunanya buat ketupat Hari Raya.Hujung daunnya bukan terkena potong, memang macam tu semulajadi macam sudah dipotong.Arwah bapaku pernah menanam pokok ini dalam pasu bunga buat perhiasan.Mula- mula semua orang hairan, tapi selepas dia menjadi petani contoh semua orang mula ikut menanam dalam pasu bunga.Tidak perlu susah-susah masuk hutan lagi cari daun ketupat ini.

Thursday, September 11, 2008

SELAMAT HARI RAYA.

Di hari mulia Hari Raya
ku pohon kemaafan
dari jauh di kampung
semoga engkau mendengarkannya
dan terus bahagia
bersama keluarga
yang tercinta

Hari ini di pagi shawal
aku masih teringat padamu
segala kenangan lalu
sewaktu bersama
telah kau tinggalkan
bersamaku begitu banyak
keindahan kota

walaupun kita tidak dapat bersama lagi
aku terus mengenangmu
dan setiap kali Hari Raya sebegini
dan di sini impian kita terhenti
untuk tidak lagi di kenangkan
hanya bunga- bunga merah
berkembang
semakin menyala

aku rindukan daerah hijau
kecilku yang dulu
batas bendang
burung- burung pagi
berlari dalam letupan mercun dan bunga api.



Sajak hari raya buat Kawan- kawan dan
Zulkifli Din yang menggeletek tak sabar nak balik kampung.

Wednesday, September 10, 2008

SENJA MERAH

Di pantai penuh bunga
tapi dihatiku
hanya tinggal hempas derita
berkejaran di pantai sejarah

aku teruskan perjalanan ini
meredah merah
mengharung laut sepi
tanpa haluan pasti
kubawa luka ini pergi
sejauhnya.

KERIS PUSAKA

Sebilah keris lama
telah meragut ratusan nyawa
pernah bermandi darah penjajah
di bumi ini mereka tersungkur
bersama aib mereka berkubur

keris ini penentu kata
jangan diikut kehendak rasa
di rumah orang tertib berbahasa
ada adat pembatas laku
jangan kita hendak ditipu
konon mereka lebih maju
jangan diuji tajam senjata
kalau memang nak hidup lama

jika menyerang jangan melulu
kelak di tanah engkau menyudu
keris ini bukan sembarangan
dipertapa ia zaman berzaman
pamur halus picitan jari
tukang hebat si pandai besi
hulunya gading kepala pekaka
limau disepuh penambah bisa
kalau kena habis cerita

jangan pula ia dijaja
maruah bangsa hendaklah dijaga
bukan pula barang mainan
kelak ia jadi hiasan.

Petikan dari Kumpulan Puisi `Lukisan Pengembara`
DBP-2008.

LUKISAN PENGEMBARA

Alangkah kalutnya lukisanku
tercalar oleh derita bertunda
di sana indah kucari
warna- warna kehidupan abadi
keasyikan di taman bernyanyi

lukisan hatiku bertanya
mencari makna
rahsia alam berbicara
peringatan atau berita sementara
waspadalah

lukisan hatiku bergantungan
rindu ranum tersimpan
resam cerita dan kenangan
warna- warna pilihan
ingin kutinggalkan
kemewahan
kecantikan seadanya

aku mencari cahaya
cahaya bakal menjelma
menerangi lingkaran hati
setia sentiasa menemani
mengelilingi diri
terdiam di pelukan.


Petikan dari Kumpulan Puisi `Lukisan Pengembara`
DBP, 2008.

BAHASA BERSAMA

Sudah lama engkau di sini
saling mengenal hati dan budi
kita pun tinggal bersama
dengan kehendak berbeza- beza
dengan tujuan tidaklah nyata
dengan permintaan berbagai- bagai
sehingga bahasa bercampur -campur
sehingga makna menjadi kabur
jika tersalah engkau bercampur
banyak perkara harus ditegur

tidak inginkah kau mengenaliku
dengan bahasa yang lebih teratur
agar kita lebih mendekat
semoga kita menjadi mesra
mengenal adat memang jauh ketara
mengenal budaya warisan bangsa
hendaklah akur kepada yang tua
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung

mengenal bahasaku tiada ruginya
mengenal diriku tiada salahnya
menyusul akar tak hilang bisanya
barang niaga tak susut nilainya.


Petikan dari Kumpulan Puisi `Lukisan Pengembara`,
DBP.2008.

Friday, September 05, 2008

SAHABAT

Sahabat sejati sukar dicari
pandai pula menjaga hati
bersetia ia sepenuh jiwa
merendah diri menabur bakti
gemar gembira dapat bersama
berpesan- pesan tanda ingatan
bagai pelita penunjuk jalan
tidak lupa sebagai bekalan

berbangga ia engkau berjaya
tanda ia ikhlas dan jujur
penganti sunyi teman berhibur
tidak berkira kederat upaya
dicuba juga selagi terdaya

tidak lekang namamu diulang
dalam doa engkau dijulang
sedang engkau tidak ketahui
kerana ia hasrat peribadi
tidak mengharap ia dipuji
tersemat dihati ikatan suci
tidak ia berbelah bagi.



Kumpulan Puisi ` Lukisan Pengembara`2008.

Thursday, September 04, 2008

TIDUR DALAM TAMAN BUNGA

Suatu waktu dulu memang pernah pun saya tidur di bangku dalam sebuah taman bunga di Pulau Pinang.Waktu itu selepas tamat sekolah menengah tingkatan 5, hajat hati nak kerja sebagai Pelukis di sebuah penerbitan yang buat akhbar `Bintang Timur`.Tidak cukup wang untuk tidur di hotel. Rasanya adalah dalam 20 ringgit dalam poket. Saya dan seorang kawan dari Perak tidur atas bangku batu dalam taman saja, sejuk angin kencang ,maklumlah tepi laut dan nyamuk pula sangat banyak mengerumuni tubuh kurus kering kami,selepas di halau oleh penguatkuasa kerana kami di sangkakan penagih dadah, kami tidur pula di masjid.Kat masjid pun kena halau juga. Pergi temuduga awal-awal lagi dia dah tanya `pernah buat layout?` terkepil kepil aku nak jawab ...apa benda tu?.Maklumlah orang kampung mana tahu, jadi gagallah aku ditemuduga hari tu. Pulanglah ke Perlis dengan hampa, tapi dalam hati rasa puas kerana dapat pengalaman makan angin keluar asap dan tersingkir di tempat orang.
Disepanjang perjalanan pulang dalam bas perkataan layout itu menjadi tanda tanya yang panjang dan tak terjawab.Mungkin dia halau aku dengan cara terhormat mungkin sama maksud dengan`Get out`.