Sunday, November 11, 2012

DETIK PERTEMUAN
















Aku ingin menatap wajahmu
dengan sepuasnya
aku ingin bercerita
tentang hati ini
telah begitu sarat rindu yang kubawa
hanya seketika bertentang mata
lalu menahan indahnya tusukan perasaan
dalam hambatan waktu
berputar laju
agar tidak ketara
di kesamaran senja
menahan sebak didalam dada

kekasih
alangkah comelnya kamu
malam ini aku menatap sunyi yang bening
selepas hujan bernyanyi
bagai meninggalkan taburan manis
kata kata dan janji
semoga ketemu lagi

kau akan selalu di hatiku
sepanjang musim berganti
bersama kembangnya bunga bunga
seharum seindah cinta kita
kau akan selalu dalam kenangan jauh
meski pun pertemuan ini
barangkali
hanya sedetik untuk selamanya.

Karya: A. Ghafar Bahari.




PELUKIS DARI GUNUNG



















Di daerah terasing ini
aku mencari indahMu
dalam kabus pergunungan
dalam hijau merah periuk kera
perlembahan basah
kembang unggu senduduk
tersipu malu
menunduk

Betapa sayu daerah ini
hanya burung burung menemani
menyingkap kembali
lembaran kenangan
semasa kita bersama dulu
di tengah arus kota
penuh cabaran dan luka luka
namun di sini ada sesuatu
yang sangat kuharapkan
menjelma semula
menjadi kenyataan

aku mencari kedamaian
ketenangan bersama warna
dalam setiap coretanku menari
aku akan terus melakarkannya
dari indah yang tersembunyi
akan terus aku lukiskan
dengan cara aku sendiri.

Karya : Ghafar Bahari.

Wednesday, October 24, 2012

THINKING OF YOU

Watercolour
50 x 70 cm.
By: Ghafar Bahari.
Malaysia.

AKU INGIN MEMBELI HATI ITU

Inikah hati yang ingin kau jualkan itu
aku ingin sekali membeli semuanya
dengan harga sekadar termampu
walaupun aku dalam kepayahan
walaupun sejuta penghinaan
ingin kau lemparkan
aku tidak mungkin
dapat melupakannya

aku ingin sekali memiliki
sedikit ketenangan
tapi benarkah begitu sebenarnya
katamu aku tidak pernah ada di sana
aku tidak pernah singgah dalam hatimu
apakah harapan itu sudah lama tertutup
kerana hati ini
sentiasa bertanya dari jauh
kau tidak pernah lekang dari ingatan

Kekasihku
apakah kau tidak tahu
tentang keikhlasan
tidak pernah meminta apa apa
bukan pada kecantikan
bukan kerana nafsu
kerana cinta ini
akan sentiasa memaafkan
untuk dikongsi bersama
sekepal doa kebahagiaan
kerana rindu ini semakin meranum unggu
singkat waktu lagi untuk bertemu.

selagi ada
selagi terdaya
aku akan terus menanti
aku hanya ingin bertanya
seberat mana sakit luka
sedalam mana pedih dulu
aku cuma sekadar ingin tahu
walaupun malam ini
aku ingin sekali
membeli hati itu
namun...
aku tidak sanggup lagi
menatap wajahmu..

Karya : A. Ghafar Bahari
Selangor.


Thursday, May 31, 2012

MELUKISKAN RASA








Mengapa kau tinggalkan segala kenangan
di sudut penjara
membilang hari
melukis rasa
hanya pedih luka luka
menderita kesakitan
sampai hati
kau biarkan aku hanyut
di laut hilang
pelayaran


sampai waktu
aku pasti pergi jua
mengembara
bagai debu yang beterbangan di angkasa
kembali aku ke asal diriku
di sampingMu


di sudut sunyi pertapaan
gua gua kegelapan
kerinduan ini melimpah
selebat hujan
hanya lah untuk kekasihKu
pemilik indah wangi bunga
kekaguman warna warna
terciptalah cinta mula
cinta yang pertama
kekal abadi
bersatu untuk selamanya
didalam pelukan sinar cahaya.

Karya: A. Ghafar Bahari.

Wednesday, February 01, 2012

KITAB KITAB CINTA


Kembali aku mengenang cinta
suatu waktu pernah singgah di sini
namun sepantas itu juga ia berlalu
meninggalkan manis mimpi mimpi
gelora badai seluas lautan
pelayaran ini patah kemudi
menyendiri tanpa haluan

hanya deru angin berlalu
menghantar batas ombak
berkejaran ke pantai silam
kulit kulit siput mereput
berselerakan sisa
bicara itu hilang
tenggelam di pasir
terbuang
besama tulang temulang

Kekasih kerinduanku
malam ini
dan untuk setiap waktu
aku masih teringat padamu
bagai simpul rasa
yang semakin terbuku
terlalu sukar untuk di huraikan
yang tinggal hanya kesakitan
menular wabak tambah menyiksa
penuh derita sengsara
bilakah mungkin
kita dapat bersua
bersama bersandaran

di malam kelam tercari cari
indah warna yang dulu
membuka kembali
helaian helaian lama
berasap dupa
melukis aku di kesamaran
menulis aku di kitab kitab cinta
pasrah pada ketentuan Ilahi
di sini aku hanya memujuk diri
bertawar azimat
mengubat luka
berjampi puisi.


Karya: A. Ghafar Bahari ( Gopa )

Thursday, January 05, 2012

PENJARA JIWA

Aku sebenarnya lahir dari penjara
telah banyak aku lukiskan di dinding ini
sehingga aku tidak menghiraukan
detik waktu berlalu
aku hanya ingin bersama
bersandaran
didalam warna kesedihan
di perkebunan
diam sebuah kolam
dan teratai berkembang putih

Kekasih
aku hanya ingin menyintai kamu
merindui kamu
menari di dalam lebat hujan

di sudut sana telah aku lukiskan
camar pantai dan laut bernyanyi
bersama sepahan kulit kulit siput
aku terus menanti
berkejar ombak bicara puisi
rasa lahir dari hati nurani

ada lukisan langit juga di atas kepalaku
bulan dan kerdip bintang bintang
sayap sayap burung beterbangan
dan aku hanya ingin singgah
di setiap pelabuhan sepimu
apakan daya
aku di penjara jiwa
tanpa nama
tiada papan tanda
aku hanya ingin tidur diribaanmu
kerana mimpiku tanpa warna
hanya cahaya
dari hitam putih suasana.

Karya: A. Ghafar Bahari (Gopa)