Tuesday, March 15, 2011

ANTARA BUBUR DAN PASIR

Apa yang cuba mereka padamkan
apa yang mereka jualkan
sejarah silam bahasa
wasilah pejuang bangsa
peradaban sastera seni dan budaya
keindahan karya

kemana condongnya peribadi
ahli fikir berwibawa
sehingga begitu payah sekali
batas batas perjuangan ini
meniti tangga
semakin terhimpit sempit
terpinggir
di kotak kotak kolonisma

apa yang cuba mereka angkat
nama dari bakul bakul sendiri
tembok tembok birokrasi
kehebatan intelektual globalisasi
mengaut kepentingan peribadi

apa yang mereka sembunyikan
nasi sudah menjadi bubur
siapa menuding siapa
lihatlah jari jarimu yang hitam
di manakah amanah bangsa
yang kau pegang
di mana lembut janji doa doa
pada Ilahi dulu

lihatlah hari ini
bubur hanya akan menjadi basi
lihatlah betapa derita
anak anak kami
memilih antara bubur dan pasir
yang pernah kau beri.


Karya: Gopa Bahari
Sempena Majlis Baca Yasin dan Baca Puisi
Selamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka
Bucu Tok Perak
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur.

2 comments:

hayatiharun said...

Salam..
nak tumpang tanya sket..
lukisan2 kat tepi blog saudara ni saudara lukis sendirik ke???
Cantik...I like!!!

GHAFAR BAHARI said...

Salam kembali.Terima kasih kerana suka lukisan saya.