Saturday, April 25, 2009

BERIKAN AKU SEDIKIT RUANG

Perjalanan pendek ini
harus kuisi dengan segalanya
aku terlalu penat untuk mencorakkan warna
supaya payahku ini menjadi lebih mudah
lebih indah

hanya api yang sentiasa membakar dadaku
tetapi aku hanya menjadi penunggu
pada unggun api yang membara
jauh pula dari sesiapa
jauh dari pantai itu
tiada siapa yang dapat menerka
bahawa ruang sekecil ini
adalah ruang terakhir buatku
menyelinap masuk bersama luka- luka
juga tekad sering saja dipatahkan
kemunculannya di ingatan
inspirasi yang hilang

diam sebentar
hanya memerhatikan tingkah alam
berlegar pantas
sering berubah berlalu dengan gundah
dan kita akan terus dilupakan
hanya sepotong nama
dari yang terkebawah

berikanlah aku jawapan penyudah
terakhir dan terindah.

Sunday, April 19, 2009

TERNYATA KAU MASIH ADA

Petang teduh
sendirian di kotak hitam kamarku ini
menunggu sakit lain datang
kepanasan dan diam
sunyi selepas ditinggalkan mereka
suara azan sayup memanggil dikejauhan
sehingga aku terpanggil ke zaman kelamku
kita masih diberi peluang
membetulkan kusutnya
jalan ini penuh warna

malam tadi
seorang teman telah terkoyak dagunya
dan seorang yang lain
telah terjun dari atas highway ke jalan bawah
berlumuran darah
luka-luka
inikah kebahagiaan
kepuasan yang mereka cari
ketika muda ini
ingin tunjuk berani
hebat seorang lelaki

ya kita tetap di beri peluang
untuk kali yang keberapa
seterusnya
kerana kau masih baik pada kami
kau masih datang mengadu
sakit peritnya dari luka luka itu
kau masih tersenyum tumpul
menagih simpati

dan hari ini
kau masih ada
untuk terus bertanya
terus hidup
terus dimaafkan
dan untuk terus kami cintai
selamanya.