Saturday, August 30, 2008

TANAH INI MILIK KITA

Negeri ini sebenarnya
telah tumpah begitu banyak darah
keringat dan air mata
telah datang pelbagai bangsa
pelbagai niat menyimpang hajat
namun begitu
halusnya muslihat
begitu payah juga mereka beringat
bertaubat
pegangan atau adat
hendak disukat
bisanya keris wasiat

Negeri ini sebenarnya
kaya ia dengan akar cerita
benar atau mentera
tersohor masyhur pula dari hasilnya
sehingga bersarang burung yang jauh
bersatu adat yang ada
bertemu jodoh dan baka
menjadi baik orang yang datang
semakin elok budi bahasa

Negeri ini sebenarnya milik kita
jangan sampai diri dipersenda
tidak pandai mengurus harta

apa ada hendak diberi
apa dijual hendak dibeli.



Abd. Ghafar Bahari
Dari Kumpulan Puisi Lukisan Pengembara
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan
31 Ogos 2008'
12.00 malam.

Friday, August 29, 2008

KEBERSIHAN ALAM


Lukisan sempena Kempen Penjagaan Alam Sekitar.Akrilik saiz A4.

Thursday, August 28, 2008

INDAH BICARA


Lukisan kartun ini saya lukis untuk majalah Dewan Siswa yang bakal terbit nanti, saya cuma tertarik pada simpulan bahasa berkenaan memang menarik dan indah. Begitulah kayanya bahasa orang dulu- dulu.Dapat pula dicungkil dari perlakuan manusia menjadi perumpamaan yang begitu baik.

Wednesday, August 27, 2008

Kumpulan puisi `Bunga-bunga Rumput` saya telah dibicarakan dalam majlis Diskusi buku di Universiti Utara Malaysia(UUM) Sintok pada hari Ahad baru- baru ni. Tetamu seramai 700 orang lebih sungguh diluar jangkaan.Anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.Terima kasih pada Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) Sdr. Mohamad Daud Mohamad,Jusoh Majid dan semua teman- teman yang terlibat.- Gopa.

Friday, August 22, 2008

GELIGA EMBUN


Saya suka embun sebab nampak macam biji tasbih bulat- bulat di sepanjang daun. Kata orang di antara banyak- banyak embun itu ada setitis embun yang mengandungi sebiji geliga yang dinamakan `Geliga Embun`.Kata orang lagi gunanya untuk menghilangkan diri dari pandangan musuh dan orang yang berniat jahat dan boleh jadi ubat pelbagai jenis penyakit.

Thursday, August 07, 2008

Inilah gambar Bob kawan saya tu seorang Pelukis, anak penyair terkenal Dr. Ahmad Razali.

LUKISAN DIRI

-Puisi Buat Seorang Sahabat Bob
( Ahmad Nazri Ahmad Razali )

Bob,
Meski pun hidupmu
tidak hentinya diterjah duka
dikunyah derita
kehilangan, kesunyian
ia menjadi sesuatu yang tiada nilainya
demi kesabaran
kau masih boleh tersenyum sendiri
dan menghiburkan kami
dengan telatah senda guraumu.

Bob,
Perjalanan ini
sebenarnya adalah
sesuatu yang sukar dimengerti
ketentuan takdir
ada lah sesuatu yang seni
lakaran berliku- liku
bagai lukisan
penuh warna
tetapi tetap berakhir
dengan segala keindahan

andaikata kau sudah mengerti
kenapa ia terjadi
Kita akan terus melukis
di seluruh rimba ini
mencarinya dengan hati
lukisan tersembunyi.

Saturday, August 02, 2008


Lata Iskandar, Cameron Highland.Ada sebuah kedai makan satu tingkat di sini, best dapat makan mee goreng di tingkat atas tepi air terjun sambil tengok orang mandi. Di sini juga ada gerai kraf tangan.