Wednesday, February 03, 2010

KEKASIHKU AMANAHMU

Bagaimana harusku ucapkan lagi
tentang rinduku kasih
nafas seperti tersekat dileherku
hingga terdiam tanpa suara
betulkah apa yang kau ucapkan ini
benar kah apa yang kudengar
dalam dadaku meronta ronta
bagai dihempas badai sekuatnya
sehebat rinduku
mendera hasratku

ingin jua sepantas itu
bertemu dengan mu
betapa besar pengorbanan
yang kau pertaruhkan
terasa ingin ku segera bersatu
memeluk dirimu
menyanyangimu
menjagaimu sentiasa

terima kasih Ya Ilahi
Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang
Maha Suci Ya Rabbi
kau penuhi jua hasratku
doaku yang kudus ini
Kau datangkan dia
secantik ini setulus ini
alangkah indahnya cinta
yang dia bawa

semalaman aku tidak
dapat tidur memikirkan nya
aku sungguh tidak menduga
kau akan menerima kehadiranku
aku hanya orang yang biasa
aku bagaikan bermimpi
benar benar dikejutkan
namun aku amat bersyukur
aku benar benar bersyukur
akan ketentuanNya
yang mempertemukan kita
dan bermula lah satu kehidupan

kasih
apa yang harus ku ucapkan lagi
aku benar benar terharu
kerana Dia telah membuka
pintu hatimu untukku

alangkah...
rindu pun sakit juga
sampai bila aku dapat bertahan
aku cinta kamu.

MULUT

kata kata itu
alangkah indahnya puisimu
telah kusalin semuanya
tinggal kekal di hatiku

dan akan sentiasa
ku pamerkan di depanku.

Tuesday, February 02, 2010

TETAP DALAM KERELAAN

Harus kita sedar sebenarnya
bahawa penderitaan hidup ini
ada yang lebih berat dari kita
ada diantara mereka
telah hilang segala
semua yang mereka sayang
semua cinta mereka
hilang tidak bertanda

pun kita masih beruntung
melepaskan mereka pergi
suatu pengorbanan
relakan kebebasan
berangkatlah
bersama keberkatan
mencari bahagia
yang dia inginkan

pun kamu masih beruntung
dapat menghirup udara segar
hijau rumputan
biru gunung

cepatlah datang mentari
bakarlah semua mimpiku ini
cepatlah datang rembulan
aku ingin hidup seribu tahun lagi.

KEKASIHKU INILAH AKU SEBENARNYA

Tidak mengapalah
meskipun makhkota itu
bukan untukku
aku tidak mengharapkannya
siapalah aku

aku akan teruskan perjalanan ini
meniti danau hijau luas
melihat embun pagi membasah
sambil melapangkan dadaku
bila angin
bertiup lembut

aku masih melhat kamu
dengan segala indahnya
kau yang tercantik
hati dan budi

kerana kecantikkan itulah
aku hanya akan memandang mu dari jauh
dan bukan untuk di miliki
jauh sama sekali
mengharapkan apa apa pun

kerana aku
tidak layak pun untuk bermimpi
apa lagi mengharapkan
seorang bidadari
turun ke bumi

aku tidak mungkin
akan membahagiakan
kerana hidupku
penuh dengan segala cabaran
pun aku sering terkepung
oleh sakitku sentiasa

dan aku pun tidak ingin
kau berkongsi duka itu
tidak ingin kucalarkan indahmu
kerana kau cukup sempurna
kaulah kekasih
kerinduanku

jika pedang ini telah kugenggam
aku harus bingkas berdiri
aku tidak peduli lagi
sejarah silam
makhluk apa pun yang melintas
pastiku pangkas.

Monday, February 01, 2010

DOA SANG PENGEMBARA

Malam semakin diam
tidak bertanya lagi
pada bulan
di manakah awan

dia di mana- mana
dialah lukisanku
puisi puisi sunyiku
bergantungan
di pohon pohon teduh
di mimpi- mimpi indah
pengembara jauh

setiap saat
wajah itu datang
aku hanya sempat menangkap
mata itu untuk seketika
mata hitam tajam menikam
alangkah sakitnya

aduhai Kekasihku
jangan kau bunuh indah ini
kerana inilah
keindahan terakhir buatku
dan ia baru saja bermula

Ya Allah Ya Mani`u
walaupun aku ini
lelaki durjana
berbungkus dosa

aku merayu padaMu
tinggalkan lah sedikit mimpi indah buatku
kerana aku sebenarnya
sudah begitu lama menderita.

Sunday, January 31, 2010

SELAMAT HARI LAHIR CAHAYA KEKASIH



Selamat hari lahir Ke 23
buat puteriku Cahaya Kekasih

Seorang anak berwajah ceria
sepi hidupnya tanpa seorang ayah
hanya ibu tempat mengadu
pun begitu musibah datang tidak hentinya
dia dirempuh kenderaan sesak dijalanan
hingga membawa sakitnya berterusan

kutemui dia dalam tangis sendu
mengharap pertolongan
dipermainkan orang yang
mahu mengkianati dia
sehingga sekian lama
akhirnya segala masaalah pun reda
dia mula berguru
melukis dan menulis padaku
sehingga dia memanggilku
sebagai seorang ayah
dia juga anak
kepada semua karyawan

meskipun begitu lahirnya
meskipun jauh
dialah sebutir bintang hatiku
yang menyinari maya
yang bakal menerangi
persada seni negara

meskipun begitu adanya
dialah cahaya kekasih
disayangi semua mereka
dilahirkan penuh
dengan cahaya
penuh dengan
segala kurniaanNya.

KEKASIHKU SIMPANLAH RAHSIA INI

Ketenangan ini sebenarnya
hanyalah tangisanku
ketika segala dosa ini
ingin kuceritakan
dari serba kekuranganku
kesakitanku
semoga diampunkan
walau pun tidak tertuliskan
banyaknya

ketenangan ini
hanyalah suatu penyerahan
rahsia rahsia kejahilanku
kekalutan kepayahan
dalam pencarian
yang pernah kulalui
dalam sarat dunia
yang penuh dugaan
kau juga yang
menyelamatkan
memberiku rezeki

kuakui silapku
hanyalah dari kelemahan diriku
sebagai manusia
sentiasa kalah dan pelupa
aku sentiasa lupa padamu

kami hanya ingin menyintaimu
mendampingimu
merinduimu sentiasa
dan pasrah atas segala ketentuan
terhadap kami

pimpinlah kami
ke jalan yang benar
hanya engkau yang lebih tahu
siapa yang sepatutnya
berada diatas landasan itu

simpanlah rahsia ini
semua aib kami
di suatu tempat paling rahsia.

Saturday, January 30, 2010

MERAWAT KASIH

Kususuli
pantai resah ini
mengutip kulit- kulit siput sejarah
kenangan kita

kuhamparkan kerudung biru
dilangit sepimu
akan ku selimuti tidurmu
dengan persalinan hijau
cahaya dari syurga

tidurlah dengan damai
di taman puisiku
tidurlah dalam warna
indah lukisanku

akan ku lagukan puisi rindu
akan kutiup pergi semua sakit
keluar dari ubun ubunmu
tertanam jauh ke perut bumi

mimpikanlah taman taman firdausi
berbungakan cinta
mimpikanlah yang indah-indah sahaja
tulus tentang kita.

AKU YANG MASIH MENGERTI

Aku yang berdiri
sebagai pengapit
disisi pengantinku
akan aku selalu
mengipas ngipas rasa
agar kau bisa
terus tersenyum

aku yang setia
sedia mendengar
keluh kesah sakit derita
ceritakanlah
dengan indah
puisimu sayang

tentang lukaku
janganlah kau hiraukan
aku telah menutupnya
dengan pakaian
paling indah

lukanya telah
kuikat kemas
meski pun bernanah.

KAMBAS HATIKU

Kuhamparkan kambas hatiku
seluas langit biru
akan kupercikkan warnaku
seindah warna pelangi
dan akan kulukiskan
tentang kita
tentang kehidupan ini
yang tidak tertuliskan
bagai gelora di lautan
saling berkejaran
di pantai kasih

Ya Ilahi
restuilah
perkasihan ini
lindungilah dia
kasihilah dia
dan pertemukanlah dia
dengan apa yang
dia inginkan.

Thursday, January 28, 2010

KEKASIHKU ITU RESAH OMBAK

Di pantai ini
ingin kubelai
halus rambutmu
terhidu aroma
haruman bunga
melingkari ingatanku
kemana- mana

ombak itulah
debaran hatiku
yang meresah
meronta
tertahan tahan

alangkah indahnya malam ini
aku ingin terus hidup
damai sebegini
disisimu kekasih
untuk selamanya
bersandaran.

DALAM DIRI

Jauh di sudut hati
pohon merendang
bunga bunga kecil berkembang
berterbangan bertaburan
sentiasa rela
ranting ranting sering dipatahkan
sesingkat itu juga ia tumbuh
subur mewarnai alam
lebih indah dari mula

jauh di lubuk hati
pintu pintu
sentiasa terbuka
untuk dimaafkan
setiap kesabaran
pasti ada ganjaran

di sudut terpencil
kita sentiasa bertanya
sedang jawapannya
sudah sedia ada
lebih bermakna
dari segalanya.

Wednesday, January 27, 2010

KEKASIHKU OMBAK PUN BERNYANYI

Bayu malam
membawa berita
bintang timur
berkelip di angkasa
membawa sinar
seribu harapan

di pantai putih
tikar dihampar
duduk bersila
membuka cerita
duduk bersandar
melabuh rindu
berlagu puisi
bicara hati

ombak di laut
berlagu riang
dapat bersama
orang disayang
kita hanyutkan
semua gundah
kelaut hilang

selebihnya berserah
tawakal kepada Allah
semoga dibukanya jalan
menjadi mudah.

Tuesday, January 26, 2010

BAYANGAN MIMPI MIMPI

Berjalan menyusul
tebing kenangan
suatu waktu dulu
menghijau
merendang pohon
langit biru

ku selak
helaian rindu
satu persatu
tersusun indah
menyentuh hati
begitu suci
ranum masak
menitiskan
titis manisnya

kini hanya bayangan
arca tanpa suara
yang kunantikan
mungkin
mustahil sekali kali ini
menjelmakan dia.

BERTAMBAH SAKITKU LAGI

Ah...
tubuh derita ini
dicincangnya lagi
menjadi makanan serigala

disiat siatnya
kulitku dikeringkan
pada jemuran
di padang padang
bakal dijadikan belulang
pada pemain gendang

ditabuhnya geram
marah bercampur dendam
tahun demi tahun
tidak henti henti
berdendang.

MAAFKANLAH AKU

Maafkan aku
jika bicaraku
menguris hatimu
adalah dari
kelemahan diriku

aku ini
dari insan biasa
pelupa
yang tidak sunyi
dari berbuat dosa
maafkanlah aku
dan aku tidak pernah berniat
untuk meninggalkanmu

aku akui kesilapanku
aku hanya keliru
dari puisi puisi
tentang dia
dan bukan pula
salah dari dirimu

aku juga tidak tahu
bagaimana harus aku ucapkan lagi
untuk memujuk
agar kau segera kembali

jika nekad rajuk hatimu
sememangnya ingin menjauh
meninggalkan
tiadalah upaya lagi
untuk aku menahan

lupakah kau pada janji janji kita dulu
lupakah kau pada pohon pohon setia
menemani
begitu besarkah dosaku terhadapmu
sehingga
kau terus berpaling
tidak dapat memaafkannya lagi
bulan dan matahari.

DI MANA HARUS AKU LUKISKAN

haruskah aku bersuara
harus kah lagi aku bertanya
patutkah aku mencelah
puisi indahmu untuk siapa
pada malam yang hitam
yang sering membungkus
deritaku sendirian
dalam kesamaran

hanya lagu luka
kini menjadi teman
dan aku tidak betah
menyanyikan nya lagi
kerana gusar hati ini
lidahku mula terkunci

hanya kesedihan ini
sentiasa kurasakan pedihnya
menitiskan sarat rinduku
tidak karuan

kekasih
di dinding mana
harus aku lukiskan
rasa indah hati ini.

Monday, January 25, 2010

TELAGAH DALAM DAMAI MERENGKUH BULAN

GADIS DI DERMAGA

Sunyi kembali malam ini
semilir angin menghiris hati
kudengar ratap jauh
tidak henti henti memanggil
tetapi bukan padaku

mengupas sejarah
berbisik dari balik pintu
menguak rindu di jendela
memanggil manggil pulang
pengembara di lautan

kenangan lalu
kau singkap semula
meskipun berkali kali
hatimu terluka
masih terpaku di dermaga
mengutip sisa

apakah ertinya ini
sepi sebuah penantian
dia masih kau harapkan
pulang kepangkuan

kekasih
apa kah sebenarnya
yang telah terjadi
sehingga karangku gubah
tidak berharga
kau hanyutkan semula
tidak lagi bermakna
ke tengah lautan
jauh dari ingatan

inikah tari ombak
yang sering kau tarikan.

KEKASIH DIPINGGIRAN

Siapalah aku
yang mengemis rasa
dari sebuah sejarah
yang terguris luka

melihat bayangan
kau berlalu
mengintai waktu
penuh harapan
menanti kepulangan
kekasih dulu

siapalah aku
memetik kecapi rindu
sendirian
di sudut sunyi
kegelapan
tanpa lagu

siapalah aku
yang memanggil manggil
kekasihku itu
tetapi dia tidak juga
mahu perpaling

siapalah aku
yang berligar ligar
hanya di pinggiran.

HANYA AKU PENGANTINKU

Hanyalah aku
yang masih jenuh bermimpi
sabar menunggu
pengantin datang
mengendung bunga

hanya aku
tidak henti menulis puisi buatmu
yang meratap di dinihari
kewalahan
terlena di meja

sayang
hanya aku barangkali
bersama segugus puisi lara
yang hanya layak
untuk dibaca sendiri
di daerah sunyi
persemadianku nanti
bersama gugur kemboja
yang setiap musim
tidak henti berbunga

tulislah puisi ini di pusara
dibawah bayang bulan
di rapuh ranting ranting
pungguk tiada

kekasih
hanyalah aku pengantinku
aku akan terus terusan
menyinta

alangkah pedihnya...

KEKASIH SANDARAN

Terima kasih kerana
memberikan
puisi- puisi indah
mimpi-mimpi perkasihan
harapan tinggi
sebagai kekasih sandaran
pujuk rayu
janji janji manis
kata rindu
hanya lakunan

Alhamdullillah
kerana luka sesakit ini.

Saturday, January 23, 2010

BINGKISAN RINDU

Lewat dinihari
begitu damai
angin dingin
bertiup lembut
bagai membisikkan
bicara puitis
bingkisan rindu
dari mu yang jauh
bertali arus
melimpah ilham
terpendam
tiada hentinya
melintas rimba belantara
sungai dan lautan

sehingga lemas aku
dalam keresahan
cintaku terhadapmu
kekasih tumbuh
rendang melebat
terdiam dibangku
termanggu menanti
alangkah kalut
merusuh hatiku
meronta bertanya
tenggelam aku rela
dalam longgokan kata
seindah sejuta bunga

alangkah hebatnya adinda
bermadah seloka.

KEKASIHKU MAHA PENGAMPUN

Janji Ilahi
walaupun sebanyak buih di lautan
walau pun tidak terhitung
tidak terkira banyaknya
akuilah kesilapan

Dia yang Maha Pengampun

mintalah keampunan
Dia pasti akan mengampunkan

akan di berinya
rasa ketenangan
kelapangan
didalam setiap
dada insan.

KUSUSULI SENJA

Kususul senja merah ini
alangkah syahdunya
burung burung terbang
melintasi teja
keriangan
beterbangan
pulang
kepohon pohon
harapan

kususul sayu hati ini
kesuyian tanpa kata
hari bertukar ganti
lalu kita menjadi semakin dewasa
diulit seribu peristiwa
berjalan pantas
cerita kedukaan
penuh kerinduan
tetap pasrah
tunduk

malam bakal tiba
dari kegelapan
ada sinar cahaya
ada bulan
bakal menyuluh
kesibukkan pada jalan jalan
keriuhan bandaraya
penuh kemewahan
hanya cabaran

jauh malam
aku hanya menunggu
sebutir bintangku menjelma
diketenangan

Friday, January 22, 2010

JANJI

Janjiku
tetap setia
minta restu
yang maha kuasa
perkenankan
arah tujuan
sebentuk cincin
tanda cinta
pimpin tangan
arah jalan
kepadaMu

akan mengasihi
apapun terjadi
walau siapa pun kamu
dari mana pun asalmu
hasrat murni
harus berusaha kearah itu
bercerai jangan.

Wednesday, January 20, 2010

RINDUKU DIAM

Tenggelam aku dalam lamunan
hanyut kenangan
tanpa suara
menyahut panggilku
bulan kelam
bintang pun rawan
langit suram
hasrat diam
terpendam dalam

kulukiskan cinta
hitam putihku
kaulah pelangi indah
melingkari hidupku
kaulah bayang
separuh dariku

kulukiskan rasa
indah pertemuan
sepanjang hayatku
kupalit pekat warna
seranum rinduku

aku cinta terlalu
rindu teramat rindu

diamku tidak terucap

Monday, January 18, 2010

KEKASIHKU BERSIHKAN LAH

Aduhai kekekasih
penguasa hati
dengarkanlah rayuan
dari diri kerdil ini
yang sentiasa kau
kabulkan pintanya
ketika susah hatiku
yang memenuhkan
segala hajat keperluanku

kerana aku juga mengasihinya
terlalu gembira menolong dia
tenangkan hati kekasih ku
dia juga sudah begitu tersiksa
jika perlu
ambillah sebahagian dari
kegembiraku
tenteramkan lah resah hatinya

seperti kolam dalam hijau
tenang membiru
seperti batu berlumut
yang menunggu
seperti bulan malam
ditemani bintang bintang
seperti malam hijau
Lailatul Qadar
seperti sayap Jibrail
yang bertaburan pada
sayapnya kerdipan
permata permata
seperti hati Rabiatul Adawiyah
yang telah kau tanamkan rasa cinta
yang telah kau bersihkan
segala hiba

Seperti Nabi Khaidir yang
menjadi penguasa air
ketenangan
seperti Awais Al Qarni yang
kau angkat ke langit kaus
ke mertabat tinggi marhain
dengan cahaya
kemuliaan

kerana dia juga sentiasa
ingat padamu
kabulkanlah mintanya
tolonglah dia
sepertimana kau tunjukkan
segala kebesaranmu padaku
keindahanmu

kekasihku
mulai dari hari ini
kau tunjukkanlah tanda tanda
kebesaranmu juga pada dia
ampunkan dia
dari segala kelemahan
yang ada dari dirinya
walau pun dia bersalah
berdosa
dia sudah menyesalinya
dia ingin kembali kejalanmu

peluklah dia dalam dakapanmu
rawatlah lukanya
Ya Khoha berilah dia kekuatan
buanglah rasa kecewa
dengan cahaya suci dari dalam
bersihkan lah kedukaan dulu.

Sunday, January 17, 2010

LUKISAN DARI HATI

Sebuah lukisan telah kusiapkan
telah kulukiskan dengan hatiku
dengan segala kesakitan
saban malam dan waktu
telah tertumpu padanya
imaginasi mimpiku
lanskap sebuah sungai
yang mengalir padanya cinta
begitu cantik dan indah

sayang sekali lukisan ini
harus dimiliki oleh orang yang lain
walau pun dia telah membelinya
tetapi lukisanku ini harus pergi dariku
dan aku mungkin
tidak akan dapat melihatnya semula
dan mungkin juga untuk selamanya

selepas ini
lukisan dari hatiku
mungkin tidak seindah ini lagi.

Friday, January 15, 2010

KEKASIHKU MAHAKARYA CINTAKU

Terima kasih kekasihku
kerana memberikan waktu
untukku melihat senyum kekasihku
bunga bunga tidak henti berkembang
dan burung burung tidak henti terbang
ombak hati bergulung indah
resah melebarkan selendang putihnya
ke pantai rindu

alangkah indahnya maya
terlukis indah
dalam imaginasiku
perkasihan gerhana
mentari dan bulan
akan terus ku lukiskan
bicara hatiku ini
buat dirimu kekasih
sebuah mahakarya cintaku

Setiakasihku
hijau pagi ini aku pun bangun
dengan segala indahnya
dari seluruh warna yang ada
dengan segala kekuatan
melimpah ingatan terhadapmu
mula melebat bagai hujan
membanjiri sunyi hati
pelukis ini.

Thursday, January 14, 2010

KEKASIHKU ALANGKAH SAKITNYA

Ya Ilahi.
alangkah sakitnya
luka ini
aku tidak tertahan lagi
alangkah pedihnya
dadaku disiang siang
ampunilah aku
aku sudah mencuba
tetapi tersingkir juga
alangkah sakitnya
tapi telah kurelakan semua
kesakitan ini terhadapku
walau pun dia pergi
walau pun aku terbuang

Ya Ilahi
alangkah bisanya
tusukan pisau cintaMu ini.

Wednesday, January 13, 2010

KEMBALI KE DAERAH KU DULU

Disana lah daerahku yang dulu
jauh dari sesiapa
sebuah daerah sepi yang dilupakan
disana daerah terpendam seluruh kata kata
disana aku harus tinggal diam
melakarkan lukisan kejam
dengan pisau yang paling tajam
ketubuhku

disana aku harus masuk semula
kedalam penjara jiwa
luka- luka lagi
tanpa mimpi dan cinta.

SETIAKASIHKU HARAPANKU

Setiakasihku,
kurenangi lautan harapan ini
ke pulau indahmu
ku pasti kau masih setia
menunggu ku disana
ku susuli pantai putihmu
dengan ketulusan hati
tanpa curiga
dan aku tetap menerima kehadiranmu seadanya
dari landasan yang telah ditentukan buatku
kepadamu kekasihku

Setiakasihku,
aku akan terus merindui senyummu
buat menghiasi daerah sunyi hatiku
dengan harapan terus berbunga
ingin ku jalani hari hari yang tersisa
dengan sebaiknya
bagai yang kita impikan
untuk selamanya

Setiakasihku,
disini didaerah perkasihan ini
sentiasa mengharapkan kehadiranmu
dan disini sebagai tanda kasihku
ingin kusandarkan diriku kebahumu
aku sudah terlalu penat
dilambung ombak cabaran
mengganas di lautan

dengarkanlah betapa derasnya
degup jantungku.

Tuesday, January 12, 2010

KEKASIHKU CINTA LUKA

Setelah kau tiada
kemana harus aku pergi
bagaimana harus aku hidup
tanpa dirimu
roboh mahligai harapanku
runtuhlah dinding- dinding
sekelip mata

kemana kau pergi
tanpa cintaku
tanpa perasaan
pernah suatu waktu
kita pertahankan

tiada cinta lain didunia ini
selain cintamu kekasihku
kemana harus aku lari
wajahmu terlukis dimana mana
senyumanmu tidak dapat kulupa
hanya kesedihan penganti sepi
penghias sunyi

sampainya hatimu
tega nian meninggalkan aku
hilang bersama kisah kisah indah kita
sungguh tidak kusangka
terputus cinta
musnahlah semuanya.

*Puisi buat anakanda Cahaya Kekasih yang tabah.

Monday, January 11, 2010

KEKASIHKU BETAPA INDAHNYA DIA

Malam ini pun kembali sunyi
mendakapku
lalu memujukku
dengan kata kata indah
biar pun kehidupan sama hitamnya
dengan diriku
bukankah segalanya
telah dibersihkan
sehingga dirimu
sentiasa tenteram
tenang dan sabar
terimalah apa saja
yang telah ditentukan untukmu

apakah yang kau sedihkan kekasihku
biarpun semua mereka menghinamu
mencalarkan hatimu
mentertawakanmu dengan segala
timbunan derita yang ada
mereka sebenarnya sudah lupa terleka
cintakan keindahan dunia didepan mata
dan bukan pada kekasih yang kekal abadi

beruntunglah pada mereka mereka yang telah
dibukakan khashaf matahatinya
sehingga dapat melihat tanda tanda kebesaran itu
betapa indahnya Dia.

KEKASIHKU SEBERKAS NASKAH CINTA

Dialah kekasihku itu
berjalan sendiri menyusul hari
diwajahnya terlukis keruh derita
dihatinya bercalar seribu luka
di rempuhnya hening malam pekat
melangkah tanpa arah pasti
kemana derita ini
harus dia lemparkan

kenangan indah dulu
seberkas naskah cinta
tidak lagi membawa apa apa makna
hanyalah hirisan hirisan hati
tidak terbendung lagi
alangkah sakitnya

dialah kekasihku itu
yang menyelak nyelak helaian luka
dengan deraian airmata
hingga relai hancur semuanya
ditaburnya sepanjang jalan itu
diterbangkan waktu
jauh dari ingatannya
semakin kosong dan hampa

dia berjalan sendiri
menyusul pantai dan pelabuhan sepi
dimana terbenamnya sisa sisa pertemuan
dia mencari keindahan rindunya
semerah cintanya
apakan daya
dikaki senja
alam mula bertukar warna
semakin jauh bayangan itu pergi
semakin kuat ia bernyanyi
dimanakah putihnya awan
bagai diarak mempelai pengantinmu dulu
bergendang

yang tertinggal dipasir hanyalah cengkerang
dan kulit kulit siput yang berselerakan
terbuang.

Sunday, January 10, 2010

WAJAH SESEGAR PAGI

Sebenarnya hari ini
mimpi indahku baru bersuara
kau datang bersama keemasan mentari pagi
bersama kembang bunga ungu
langit biru
dan gebar kepak kumbang bernyanyi

kau bawakan sekuntum senyum paling indah
sehingga aku rasakan diriku
terapung di awanan
terbaring di kebunan hijau taman
tersenyum sendiri

dia dihatiku, selamanya dihatiku
menjahit rindu kuntum harum cinta Ilahi
dengan kesakitan yang begitu menyiksakan
seribu duri terpacak di dada

Aku sebenarnya sendirian
di daerah jauh laut hilang
menantimu menggelepar
begitu lama terbiar
dalam gelap dan lapar.

KEKASIHKU PAGI YANG MERESAH


Terbangun aku pagi ini
dengan segala ingatan terhadap mu
aku tercari cari puisi indah itu
bicaramu bagai bisikan bayu
melewati gunung dan lautan
diiring semarak bunga bunga wangi
burung burung mula bernyanyi
ombak pun berkejaran
ke pantai rindu
rindu padamu

rasanya seperti segera
aku ingin terbang ke sana
bertemu kekasihku
yang setia menanti
di langit tinggi
bulan putih perak kesiangan
terbayang wajah kekasihku
sedang tersenyum di balik awan
begitu manis menawan
sayu di pintu
sekepal doa buat pengembara
agar segera pulang
kepangkuan.

DOA BUAT KEKASIH

Ya Ilahi
lihatlah tubuh kekasihku yang
tergantung di langit
airmatanya bagai hujan petang
membanjiri sungai sungai
laluan hidupnya
ampunilah dosa- dosa mereka
yang menulis bukan dengan hati
lalu mensia-siakannya
hingga melupakan betapa
hebatnya cintamu

Ya Ilahi
lihatlah tubuh kecil
kekasihku ini
yang tenggelam didasar lautan janji
dicelah karang reput relai dan hilang
kau timbulkan lah ia kembali
dengan wajah keimanan terhadapmu
limpahkanlah hidayah juga cahaya
pada hatinya yang basah.

Thursday, January 07, 2010

DIBAWAH HUJAN BERPAYUNG RINDU

Kunyanyikan puisi ini
buat dirimu pengubat sunyi
dibawah langit dan hujan
kita payungi rindu ini bersama
di taman taman indah
dikepung kembangnya bunga

biarkan
petir yang berdentum
juga kilat yang melancarkan panah berapi

sebentar...
aku ingin melamarmu
di padang hijau
lantai rumput ini
hanya mata
tanpa syarat dan kata- kata.

AKU ... PADAMU

Mengapa bila saja kusebutkan
aku... padamu
isi alam menjadi riuh
semakin resah gelisah
apakah ucapan itu melahirkan kata dosa
apakah ia menjadi jembatan untuk aku
terjerumus ke lembah hina

apakah diriku begitu sebenarnya
tidak layakkah aku menyebutnya
perlukah kuceritakan
kisah peritnya hempedu hidupku
tentang rindu siapa kekasihku itu
jika sudah rasa putih hati
tanyalah malaikat
siapa dia lelaki yang
tidak dikenali itu
tidak punya apa apa
yang berjalan didalam gelap
lalu keluar dari rumah ke rumah
lewat dinihari
luka luka lalu
dia pulang dengan segala kesakitan
yang amat sangat

tapi sebenarnya
mungkin juga
mereka yang berkata itu
telah mula bimbang
kiamat akan segera datang
lalu membungkus semuanya
masuk syurga.

Sunday, January 03, 2010

Wednesday, December 30, 2009

KEKASIHKU ITU BURUNG IKAN RERAMA

Dialah kekasihku itu
datangnya dari langit
sikecil layang layang
entah dari biru mana
sayapnya patah
terbuang
tercarik luka hatiku
sakit dan sayu
kutatang belas kasih ini
kemana haluan pergi
ingin kulepaskan
bertemankan rerama
dapat kah kau terbang lagi
melewati padang mimpi
hilang bersamanya
tari bebunga lalang

Dia kekasihku
datangnya dari resah pohon pohon rindu
juga dari ratap nyanyi unggas
dari tebaran daun daun waktu kekuningan
kocak jernih percik air di kali
ikan- ikan terjentik rasa
udara pun bergetar berbisik sukma
disana ingin kupeluk semua
juntai hijaumu sepuasnya
didalam dingin tebal kabus gunung
alangkah lembut hela nafasmu
wangi mengharum
bunga bunga rimba
seindah lembut bicara
bait- bait puisi adinda

Dialah kekasihku itu
yang membawa hebatnya cinta
betapa sakitnya kecewa terhiris luka
betapa ikhlas hati yang selalu reda
sanggup mengekang kehendak rasa
walaupun hilang

mengingatimu
semakin jauh semakin indah
seperti pertama tama kali kita berjumpa
seperti kau yang sentiasa diam
tertunduk malu
tapi aku sendiri sebenarnya
yang tewas menentang tajam tusukan matamu

walau bagaimanapun...
walaupun diam
aku sekadar ingin merayu
kalau boleh...
harap harap
usahlah menjauh.

Tuesday, December 29, 2009

KEKASIHKU ITU HUJAN

Dialah kekasihku dulu
separuh nyawa
pernah kurindu
padanya terbang
sekawan mimpi
burung burung senja sedih
padanya terkumpul semua luka luka
padanya selaut air mata kasih
bergelombang
sehingga aku sendirian karam
tengelam di laut garam
hilang

dia melintas didepanku
bersama sejuta peristiwa
bernyanyi perlahan
lagu yang pernah kita nyanyikan bersama
suatu waktu dulu dimana mana
diingatan mimpi tentang hujan
lagu cinta kekasih dari pohon
dari ranting patah
kuntum nya berderai

digendongnya ratap sedih itu selamanya
bagai cucuk sanggul
yang menikam nikam tajam di kepala
hari ini dia sudah lain
dimiliki kekasih yang lain
ternyata kekasih itu
kekasih yang pernah
kita cinta bersama
dia di mana mana
di mana saja
kuhadapkan wajahku

sayang
kau juga di sana
sajakku diam
aku hanya ingin melihat dalamnya luka
sejauh mana mata pisau terbenam.

Sunday, December 27, 2009

SAYEMBARA LUKA

Kesedihan dan luka ini
kembali ke dalam sunyi
sunyi yang begitu damai
tenteram
kembali dalam pelukan
rindu kekasih
dingin malam
harum bunga

kekasih
ah.. aku ingin menangis
sepuas puasnya
terharukan diri
betapa luasnya langit
entah kerdil lahirku di mana penjuru
terpisah rindu
tengelam terlena

tapi...
alangkah indahnya
pakaian yang dihadiahkan ini
merah menyala.

Tuesday, December 22, 2009

JIWA YANG TENANG

Alangkah indahnya
kalau kita dapat melihat
pada setiap derita kesakitan
ditukarnya pula
pada seribu keampunan
ditanamnya pula
kepada jiwa yang tenang
pohon -pohon teduh

sehingga kita pun
tidak terkata lagi
terkedu diam
cair di kolam.

HARGA SEBUAH CINTA

Dapat kah aku melukis wajahmu
seindah dulu
kau tidak lagi pernah tersenyum
melihat putih awan
melihat hijau daunan
kuning indah bunga ditaman
dapatkah aku menadah
menakungi beban derita itu
kerana airmata mu
tidak pernah henti tumpah
membanjiri gerimis senja merah ini
terluka panjang
melarut ke hitam malam
tanpa bulan bintang bintang
menyinari kelam


bagaimana dapat aku mengerti
sekeping hati yang tertutup
rapat semua pintu pintu peribadi
dapatkah aku hidup
bernyanyi sendiri
tanpa irama
dan kau menanggis
untuk siapa

salahkah aku bertanya
berapa harganya
untuk membeli sebuah cinta
jualkan lah rindumu juga
sekarang.

Wednesday, December 16, 2009

KALIMAH CINTA

Merendah
rendahkan lah
berlembut hati
perhaluskan lah lagi
sujud merapat sunyi
lagu sedih hiba
teringin
damai lapang
dalam tenggelam
kenikmatan bersamamu
datang tenang
tenteram
hanyut jauh
ke laut senja
segala luka luka

tidak lepas
tidak kering di ingatan
alangkah indahnya
betapa sakitnya menulis
melukis namaMu
tawakal di dada
mengintai makna
bicara alam bergetaran
diam diam
rahsia

kekasih
layakkah aku merindu
sehingga kini
kalimah cinta seindah itu
tidak mampu kuucapkan lagi.

Tuesday, December 08, 2009

DIKUPAS DERITA

Petang teduh
sugul gelisah
mengintai perlahan
meyeringai taring taring tajam
mencari mangsa
aku mahu dibahamnya
ketika tubuh ini
kewalahan
melawan sendiri
apakan daya
hanya aku kini
digemari derita
bertunda menerkam
keliling

hanya padaMu
limpahan kasih penuh
tempat merayu
harapan terakhir
selamanya kutunggu
yang bakal meleraikan kusut
terbelit dibenak ini
begitu sarat yang datang
tenggelam akhirnya
terkepong diantara kerikil tajam
terhimpit dalam timbunan
batu batu hitam

ingin ku ceritakan sakitku
tapi kau jua yang lebih tahu
betapa berat bebanan ini
terpikul dibahu
dari kemampuan upaya
tidak seberapa

tolonglah aku kekasih
ringankan lah sedikit
sakit ini
diriku sudah lama hancur
dikupas derita
dicincang sengsara.

Monday, December 07, 2009

Sunday, December 06, 2009

CINTA PUTIH

Minta maaflah
jika kau masih percaya
masih ada cinta suci di sini
diakhir zaman ini
mimpi disiang hari
mana mungkin
kejujuran
keikhlasan
ketulusan
cinta putih bersih
dan lupakanlah
hasrat yang tinggi mengunung itu
seketika
dan berfikirlah sepantasnya
sekarang
sebelum terlambat

wajahnya yang tampan
anak hartawan
kesenangan kemewahan
sebenarnya bukan kayu pengukur
tidak lagi menjanjikan bahagia
tinggal kekal sesat
untuk selamanya tertipu
jejaka idaman yang kau impikan
hanyalah permainan
di pentas lakonan
dan dia bukanlah sebenarnya
seorang pemalu

ketawalah hari ini
sepuas puasnya
sehingga waktu terhenti
kau sendiri akan tahu
bahawa indah dulu
tidak akan mundur kembali
kebelakang
semakin serba salah
sehingga jelas
topeng topeng kepalsuan
rupa rupanya diluar dugaan
mat rempit
peragut penipu
penagih dadah
kepala samseng
pembikin rasuah
perompak penjenayah
terpulanglah
Jika itu yang kau cari
itulah yang kau dapat

pedulikan
kata hati
menyedapkan rasa
kau paling cantik
paling istimewa
dia lelaki setia
sanggup berkorban
jiwa dan raga
kerana cinta
tapi sekarang
siapa bela siapa
siapa jaga siapa

inikah cinta suci
ketika belum dimiliki
harga diri tidak lagi bermakna
berkepit sini dan sana
dengan penuh bergaya
kau hanya layak
dijadikan umpan
semata mata
dihati dia
alangkah mudahnya
kau ditipu
hidup- hidup
mentah- mentah

sungguh tidak disangka sangka
cinta dia selama ini
mati mati
sepenuh-penuh kau percaya
hanyut
disini hari ini
bercerminlah
cinta siapa
seharusnya kau cari
bertaut teguh
selamanya dihati.

Thursday, December 03, 2009

Wednesday, December 02, 2009

POHON MENANTI

Pada setiap pagi
aku menunggu berita darimu
seperti selalunya
aku terus menanti
telefon bernyanyi

tapi hari ini
segalanya sunyi
sehingga angin petang
bertiup kencang
menerbangkan dedaunan
bertebaran kekuningan
juga meninggalkan aku
sendirian
termangu sepi

di bawah pohon rindumu
resah bertanya arah
kemana.

Tuesday, December 01, 2009

SERIKANDI SENI

Kulihat gigih
terjaring dimatamu
mengupas kelopak merah menyala
jemari halus dipenuhi duri
terluka

dialah serikandi gelisah
tidak jemu mencari indah
bersama warna halus bicara
dipeluknya kalimah alam
juntai palma
kembang ungu teratai di kolam
tanda ada
tasbihnya dari batu
dari permata

dia terus melangkah
mengumpul kembali
sirah rindu yang dulu
puisi tradisi kasih bonda
masih kedengaran
berlagu dialun buaian
ingin ia ceritakan
didalam lakaran
halusnya seni warisan
wajah seribu puteri

berkali kali rantingmu patah
dipukul alun rentak bertingkah
tetapi wajahmu tetap kental ceria
jauh merenung kedalam diri
mengapai harapan membumbung tinggi
mengumpul kekuatan
berpencak jiwa berani
tabah menyulam motif dan corak
berkait bersambung
tiada hujung
tiada henti.

Sunday, November 29, 2009

SECAWAN KOPI

Hanya bunga bunga kenangan
mengharum merah menyala di halaman
teratai berkembang unggu rindu
anak anak ikan mengintai resah di kali
embun pun gugur perlahan
dari hijau selepas basah
dihujani mimpi pelamin
pengantin yang dulunya
tersangat muda

dedaun kuning merah bertebaran
angin dingin memaut kencang menari
menjauh meninggalkan permaidani
petak petak kehidupan
harapan dari ranting terkulai
sendiri meratapi
mimpi indah petani
alangkah sukarnya bercerita
tentang pohon pohon
condong di tangga

jalan semakin jauh
semakin pilu sedih
siapa yang sudi mendengar
dari lubuk hatiku yang pedih
merintih mengalir lesu
raut wajah mu
selamanya dulu pernah dirindu
tertegun terkasima
menunggu aku menanti
perlahan menghirupnya
hitam pahit manis rasa
hilang dalam senyum terpaksa.

Sunday, November 08, 2009

DURI DURI

Tajamnya duri duri ini
tersengkang diantara bahuku
tersilang antara selangka dada
bisanya duri ini
meragut seluruh kesakitan
ke dalam kotak fikir
kalut meracau
beku buntu

bagaimana pun
dari dukacita burung- burung senja
aku merayu padamu
rindu jauh langit tinggi
sesekali akal hilang
aku pasti tunduk kembali
dalam hamparan sejuta wangi
rumputan

aduhai sakitnya...
terhoyong hayang
terasa perit tusukan ini
aku pasti akan tumbang pula
terlentang ke belakang.

Monday, November 02, 2009

TENTANG POHON DIRI

Akar itu niat serta akidah
batang pokok itu amalan juga ibadah
ranting itu dari cabang segala doa
daun itu doa terpilih terus kepada Nya
dari syafaat nabi atau para ulama
bunga itu tanda kasih tanda cinta
buah itu hasil dari segala usaha
tangkai itu usia hayat
condongnya ke arah kiblat

alam itu sebenarnya tanda ada
ada pencipta ada penjaga.

PANAH YANG TERPACAK DI DADA


Ketika asyik
mencari diri
antara tidur dan jaga
berkali kali
dipanahnya lagi
bagai kilat dari angkasa
menyambar bagai halilintar
berapi terpancar di dadaku
terbelah dua
menggelepar
tapi hilang rasa
hanya cahaya

Inikah urusan
tentang hati
perihal cinta
sehingga segalanya
begitu mudah terguris
pilu sayu menangis
usah menjauh
isi alam bergetaran merusuh
memanggil indah namamu
sehingga lidah kasih mula tersentuh
aku sebenarnya sudah berkali kali jatuh.

Monday, October 26, 2009

Saturday, October 24, 2009

PADA CINTA PERTAMA

Seandainya tertutup kalam
tenggelam pada segala keasyikan
ketakjuban
tidak perlu bercerita lagi
terjunlah kedalam hakikat
kenalilah diri
sebenar benar diri
itupun yang kau cari
merataplah
bergulinglah
merayulah
bernyanyilah
penuhkanlah ia
puji dan puja
hiasilah dirimu
secantik cantiknya
sewangi wanginya

kau dalam pelukan cinta
cahaya di dalam cahaya
cahaya yang selama ini
menjadi rahsia
kembali kepada rindu mula
rindu pada cinta yang pertama.

Tuesday, October 20, 2009

MELANKOLI DINIHARI


Ah... sedihnya malam ini
hujan setitis saja
menitis perlahan

betapa sunyinya di kegelapan
hanya cengkerik saja
yang berani bernyanyi
lagu luka hatiku ini

mereka semua pergi
melambai lambai tangan
meninggalkan bangku bangku setia
setangkai bunga kusam
diam tertinggal disana
bukan milik siapa siapa

aku melukiskan dia
tercengang cengang
melihat rerama putih
mencari warnanya
kemana hilang

alangkah sunyinya
mimpi ini
tanpa tetamu
berjalan sendiri
mencari pagi

... namamu
masih tertulis ditapak tangan ini
di mana terguris lama lukaku dulu.

Wednesday, October 07, 2009

Tuesday, October 06, 2009

SANDARKAN DIRI KE DINDING INI

Kusandarkan diri pada dinding ini
hanya aku ingin sandarkan diriku dengan manja
telah begitu banyak beban tergalas ini
sarat tak terpikul lagi
penuh

malam ini
aku hanya ingin bercakap seperti biasa
seperti aku yang tidak mengerti apa- apa
dengan bahasa yang biasa
dari resam pengalaman
tangguh lagi pelupa

ingin ku sandarkan kesal ini
kebahu kekasihku yang sentiasa
memerhatikan
bila terkoyaknya iman
tersungkur lagi
berkali kali
meruntun harap
belas kasihan

kata hati aku kini hanyalah
dari sunyi pohon teruji
disana segalanya ada
ranting ranting
ulat ulat sebelum menjadi rerama
buruk sebelum kembali kesayap indahnya.

Sunday, October 04, 2009

Tuesday, September 08, 2009

SIAPALAH AKU

Apa harus diucapkan lagi
senandungku kini berlagu sunyi
tenggelam dilamunan
hanyut sendiri

apa harus dikesalkan kini
puisi luka tidak bermakna
hanya lontaran kata- kata
tanpa lagu hilang asonansinya

hitam putih alam ini
hanya tinggal debu dan pasir
tidak henti beterbangan
lalu hilang dari pandangan
ombak pantai ku bisu
meninggalkan seribu deru
meronta kesakitan

sepi sebelum ada sesiapa
diam untuk tidak lagi bertanya
untuk menyelam
dalam lautan ikan -ikan
siapalah aku
antara bayangan pepohonan
di lapisan hati mereka
tidak lagi bermakna
hanya tinggal naratif cinta.

Wednesday, September 02, 2009

DALAM DIAM DIAM

Lain kali tak perlulah
mereka reka sesuatu cerita
atau sesuatu jenama
formula baru konon
kalau sememangnya
nak buat sesuatu
yang sebenarnya tidak perlu
menipu begitu

kesiannya mereka
dalam diam diam
tertipu rupanya
yang buta ilmu

sebenarnya
pakailah topeng apa pun
kami memang dah tau
hitam yang datang dari dalam.

RINDUKU

Biar rindu menjadi buku
bila kau pulang
itulah hadiahku
tataplah ulang berulang
sampai kau jemu

sayangku
lepaskanlah!

LAMUNAN




Hanyalah ingatan
yang sering ku hanyutkan
jauh dari indah itu
dedaun kekeringan
di padang padang perhitungan
terlentang kejang
kehancuran ku relakan

apa yang kau tinggalkan hanyalah
seketul hati sekepal cinta
apa kau fikir ia akan lenyap hilang
begitu mudah dari ingatan
sehingga bertahun tahun mimpi itu
mempermainkan
keindahan
hanyalah sia sia
tidak pernah menjadi nyata
tidak pernah tumbuh pun
mana mungkin
menjadi bunga

terima kasih kawan
aku sudah biasa dihanyutkan
bila tidak diperlukan
bila tidak ada kepentingan

Tuesday, August 11, 2009

HUJAN PAGI INI

Hujan pagi
telah kau labuhkan
lamunan
lantai dan lautan
jauh ingatan silam
tingginya pendakian ini
ranjau berduri
seribu kesakitan

sepi kian terisi
dari kata-kata terkunci
tidak terlafaskan
indahnya warna pertemuan
segalanya ingin kulukiskan

aduhai
bulan kesiangan
dan langit masih dipenuhi
bintang- bintang berkelipan
di luar jendela
bayu mula menyapa
tempias khabar berita.

Monday, August 03, 2009

SEORANG PELUKIS

( Puisi Buat Aris Aziz dan Pelukis- pelukis Pasar Budaya)

Terus bergelut
diantara keterbatasan upaya
melahirkan sketsa suasana
bagai daun-daun harapan
berterbangan hanya rasa
dari seluruh coretan alam
di padang padang pengalaman
hanya warna-warna kering
kian membeku
sekadar kemampuan
apalah daya
tertewas lagi di arena
tenggelam dalam tepukan
apalah ertinya kini
aku sudah tidak berdaya

terpaku terpanggang
diantara ranjau perhitungan
terus mengenggam sepantasnya
berus yang patah
tertikam berdarah menunggu rebah
tapi bukan bermakna
untuk terus dikalungkan indah
kerana api didada ini
akan terus membakar
belantara mimpi kita
selamanya

kerana waktu itu
sangat berharga
walau pun payah untuk dijeda
seluruh kesakitan
begitu banyak luka- luka
ingin kulemparkan sejauhnya
dari desir sedu hela
tanggismu kekasih
aku sudah begitu lama tersiksa
dan aku sudah terlalu tua
disanggar hitam putih penjara.

Friday, July 24, 2009


Awang`s Resort,Rantau Abang Terengganu. 22.07.2009.

PUISI BUAT CAHAYA KEKASIH

Kutulis puisi ini
ketika cahaya itu
menerjah malamku
sehingga aku terjaga
dan melemparkan diriku
diantara penjuru kenangan
seribu peristiwa

cahaya kekasih
begitu bagus nama itu
selembut suria pagi
bunga-bunga unggu
dari rumput kehidupan
dan kita begitu mesra
walau pun cahaya itu terlalu jauh
kelewatan diufuk senja
mengapakah bicara kau kutunggu
terlena lewat dinihari

kita tidak ada apa apa
dan kita bukan sesiapa
tetapi kau langit yang tinggi
dan disana harus ada
burung burung berterbangan
menghiasi indah hari
laut sunyi hati ini

alangkah...
takutnya bermimpi.

Monday, July 20, 2009


Awang`s Resort, Rantau Abang, Terengganu.30.4.2009.

LANGIT HIJAU

Jangan lupa malam hijau
dimana bintang dan bulan berkaca
bulan hijau
jangan lupa ketika sayapmu
mengorak lembut
seluas langit
bertebaran
jutaan permata
berguguran


diantara selimut alam
langit tinggi rahsia
terbentang selendang putihmu
cakerawala terpaku
terhenti saat dan waktu
langit hijau
telah terbuka semua pintu pintu
sampai kemari
segumpal awan meniti perlahan
melintasi rindu
bercerminkan indah
salam perkenalan
pengembara.

Friday, June 19, 2009

Thursday, June 18, 2009

SUNGAI KEHIDUPAN

Inilah sungai hidupku
yang mengalir menyusuri
tebing-tebing sengsara
runtuh diatasku
sisa-sisa
tenggelam timbul
dihanyutkan jauh
keruh air di muara

sungai kehidupan ini
merengkuh nekadku
medan perjuangan
penuh warna
manis kata-kata
hanya laluan ini
membuat aku
lahir bersama parut
penuh dibadan

dan aku tidak akan menoleh lagi
dan aku akan lebih tidak peduli
walau telah jauh dihanyutkan
senda nyanyi ikan-ikan
bercengkerama

maafkan aku
aku tidak bersalah
dan aku bukanlah seorang penjenayah.

Thursday, June 04, 2009

RANJAU TAJAM

Aku kembali mengenang
tempat-tempat indah dulu
taman-taman kita
bunga mekar
langit biru
masih sunyi
bersama pohon-pohon tinggi
terus membisu
menyendiri

aku terus melakarkannya
bersama warna dukacita
masih berdarah
masih dipenuhi ranjau-ranjau tajam
kehidupan hari ini
semakin sarat dan kejam
hujan awan
burung- burung
dan diriku dilupakan
rumput resam
menjadi mangsa
dan sering tertikam

Wednesday, June 03, 2009

Saturday, April 25, 2009

BERIKAN AKU SEDIKIT RUANG

Perjalanan pendek ini
harus kuisi dengan segalanya
aku terlalu penat untuk mencorakkan warna
supaya payahku ini menjadi lebih mudah
lebih indah

hanya api yang sentiasa membakar dadaku
tetapi aku hanya menjadi penunggu
pada unggun api yang membara
jauh pula dari sesiapa
jauh dari pantai itu
tiada siapa yang dapat menerka
bahawa ruang sekecil ini
adalah ruang terakhir buatku
menyelinap masuk bersama luka- luka
juga tekad sering saja dipatahkan
kemunculannya di ingatan
inspirasi yang hilang

diam sebentar
hanya memerhatikan tingkah alam
berlegar pantas
sering berubah berlalu dengan gundah
dan kita akan terus dilupakan
hanya sepotong nama
dari yang terkebawah

berikanlah aku jawapan penyudah
terakhir dan terindah.

Sunday, April 19, 2009

TERNYATA KAU MASIH ADA

Petang teduh
sendirian di kotak hitam kamarku ini
menunggu sakit lain datang
kepanasan dan diam
sunyi selepas ditinggalkan mereka
suara azan sayup memanggil dikejauhan
sehingga aku terpanggil ke zaman kelamku
kita masih diberi peluang
membetulkan kusutnya
jalan ini penuh warna

malam tadi
seorang teman telah terkoyak dagunya
dan seorang yang lain
telah terjun dari atas highway ke jalan bawah
berlumuran darah
luka-luka
inikah kebahagiaan
kepuasan yang mereka cari
ketika muda ini
ingin tunjuk berani
hebat seorang lelaki

ya kita tetap di beri peluang
untuk kali yang keberapa
seterusnya
kerana kau masih baik pada kami
kau masih datang mengadu
sakit peritnya dari luka luka itu
kau masih tersenyum tumpul
menagih simpati

dan hari ini
kau masih ada
untuk terus bertanya
terus hidup
terus dimaafkan
dan untuk terus kami cintai
selamanya.

Wednesday, March 25, 2009

BERTANYA PADA LANGIT

Kulihat langit sepiku
mendung berarakan
kucari rinduku
didalam renyai hujan
kucuba menahannya
tidak berdaya
sehingga aku semakin
kebasahan
kucuba mentafsir
langit resahku
tetapi dentum petir
melepaskan dendam
seribu tusukan
datang menerkam

kubiarkan diriku
terpanggang kesakitan di sana
bicara tergantung di langit
kembang terdiam di kolam
kelir angin meramasnya
garang mencincang
manis mimpi dari ingatan.

Tuesday, March 10, 2009

LAKARAN MIMPI





















Kutulis puisi ini
ketika malam terlena
dipelukan

ketika rindu berbungakan bulan
bercalarkan awan
ku gemari tipis gerbang lembut
rambutmu dihuraikan angin
wanginya mengharum
bersama keringnya daun peristiwa
kekuningan
aku terus bergelut
bermandi warna

aku terkenangkan hutan hijaumu
juga tangis gerimis dulu
mula menitis perlahan
pada condongnya bebunga lalang
namun aku pasti memaafkan
bertebaranlah

aku yang mula menyendiri
diam perlahan melakarkan nya
dari tinta hitam warna sunyi
melayari damai jauh di sudut hati
tidak berbaju namun
aku masih memeluk mimpiku yang dulu
sekemasnya.

Monday, March 02, 2009