Keberangkatan ini pun tertulis lagi
tertanya-tanya siapa
malah bertimpa- timpa
akur oleh undangan jauh
tidak terduga
tidak tangguh
gerombolan ini pun berlalu pergi
dalam tenang rindu
tersenyum teduh
meninggalkan daerah kacau ini
hingga kami menggelepar
dikoyak rindu
digoncang sendu
berzikir riuh
hingga terlepas cinta dari pelukan
terlerai genggaman
terungkai ikatan
kekang satu demi satu
berturutan
dalam diam
jemputan beralas kias petanda
lembut terpanggil namamu disunyi pusara
tiada lagi usik mencuit hati
menyindiri begini
bagaimana aku harus tertawa.
Buat Bapa Mertua, adik Ipar di Kota Bharu, nenek di Perlis juga jiran Allahyarham Rafie Hussein, Sahabat, Allahyarham Sudiro dan Nasir Ali di KL yang telah kembali ke rahmatullah selepas raya puasa baru- baru ini.
Puisi ini juga terpilih untuk disiarkan dalam majalah Dewan Sastera Januari 2009.