Tuesday, November 22, 2011

PADA ANGIN AKU BERBISIK


Aku ingin terus memujamu
mencintaimu
bagai kekagumanku
melihat awan yang bersisik.

Tuesday, November 08, 2011

HELAIAN KENANGAN



Inilah kedut kenangan di wajahku
ketika bersamamu sekian lama
bagai helaian naskah naskah cinta
yang sentiasa ku selak dan ku baca.

KERANA ITU





Aku mencintaimu
kerana itu
gelisah hujan dan angin tidak pernah henti bertanya.

SEKIAN WAKTU MENYEPI



Sepi ini sudah lama tidak terusik
tiba tiba pagi ini wangi harummu datang
aku mencari senyummu yang dulu.

Wednesday, October 12, 2011

DARI SATU SENTUHAN WARNA


Bank Simpanan Nasional
telah terkumpul segala keyakinan
kepercayaan sepenuh harapan
buat merealisasikan
manis impian
jaminan hidup di masa depan

dengan segala kecanggihan teknologi
menjadi ia semakin dihormati
selamat senang dan mudah
buat kami berurusan
sesiapa sahaja
walau di mana berada
pendekatan
seindah semanis senyuman

Bank Simpanan Nasional
menjanjikan berbagai tawaran
Skim Perbankan Islam
untuk semua gulongan
berlandaskan prinsip Syariah
Bai Al- Inah
dari Prinsip Syariah Mudharabah
ke Prinsip Syariah Ujrah
pelaburan kian meningkat
bertambah

lihatlah produk promosi
kebajikan buat Warga Emas
yang memerlukan perhatian
simpati
dari satu sentuhan warna
ia menjadi lebih bermakna


bantuan buat Warga Muda
di pengajian tinggi
kemudahan di bidang pelajaran
berjimat untuk kejayaan
mencapai kegemilangan hasrat
1 Malaysia diutamakan

kesempurnaan sebenarnya
kini hanya ada
di Bank Komuniti anda
di Bank Simpanan Nasional ini.

Karya: A. Ghafar Bahari ( Gopa )
13.10.2011.

Puisi Khas buat Bank Simpanan Nasional.
Kalender BSN 2012


Wednesday, September 07, 2011

MELUKISKAN SENJA

Di tepi sawah

aku melukiskan senja nan merah

sayu rasa menatap alam

bagai rindu yang kian tenggelam

melukis aku buah ranum itu

masak dan gugur ke bumi

hilang di pelukkan


pantasnya waktu berlalu

sempatkah lagi aku

mewarnai kedaifan

keinsafan diri

hanya tinggal

sedetik

setitis

segenggam harapan


meraba raba pada wajah sendiri

hilang di kegelapan

dalam mencari haluan

semuga segala indah

mengantar aku pulang.


Friday, August 05, 2011

WAJAH INSPIRASIKU

Sunyi senja berwajah merah
bicara kolam seakan terdiam
kunanti desir bayu bertanya rindu
di pantai mana kah dia merintih
termanggu menanggis
bersedih

ombak menghempas resah
putih mengebu awan di langit
sesuci cintanya yang teduh
memayungi kasih
mencarimu di hamparan pasir
di celahan batu
di sini lihatlah semua lukisanku
hanya kerana kamu
kuhamparkan

keindahan alam sentiasa berubah
inilah wajah kita
kering basah dimamah usia
hanya tinggal nota sejarah
sepasang burung
sebuah sarang
sebatang pohon teduh
sebuah bangku usang
yang tidak lagi mampu bercerita
mereput di perkebunan
selamat jalan peristiwa
denai akan terus mengalir

kau tetap indah di hatiku
seindah burung burung yang pergi
sambil terus bernyanyi
tapi tetap pasti meninggalkan
manis mimpi inspirasi
sarat sakit
hirisan sebilah belati.

Friday, July 22, 2011

EMBUN EMBUN CINTA

Malam kian menjauh
meninggalkan segala kenangan
dalam kesamaran
mimpi kedukaan
kutadah payah
sakit tidak tergenggam

apa akan jadi esuk hari
hanya tinggal bayangan
kesedihan masih kuhamparkan
aku semakin menghilang
di sebalik pohon pohon hitam
melebat semakin tunduk
merendang

bersisik awan memutih
di langit
di hijau taman
aku menanti kekasih
rebah basah berembun
seindah selembut cintaNya turun.

Monday, July 04, 2011

PUISI SYURGA SENTUHAN BIDADARI


Pohon Pujangga Cinta
akarnya meruntun kasih
melimpah ke bumi
dedaun rindunya beterbangan
ke serata alam
jatuh

kembangmu mewangi
kelopak putih bertaburan
di bawah teduhan
menambat hati pengembara
singgah berteduh
terlena

kekasih
alangkah indah mimpi ini
walaupun bertahun lama
aku tetap menanti
di bawah hamparan
lukisan permaidani
sebuah taman

hijau rumputan
bulan penuh di langit
bintang berkelipan
awan berarakan
kata kukirim
selembut salam
seindah alam

sunyi di bawah pohon ini
mencari di mana bayu berbisik
bernyanyi
puisi puisi syurga
sentuhan bidadari.

Sunday, June 19, 2011

CINTA SELAUT AIR MATAKU

Rasa berkecai dadaku
menahan sebak
luruh hanyutkan aku
ke laut hilang
biar mendekat
ke pulau pulau kasih
pengharapan

hanyut aku kesakitan
bersama sedih hati ikan ikan
gelombang menerpa
timbul tenggelam
di celah karang
karangku mereput resah
mengepung selaut air mataku
bergulung garam
pecah

kekasih
tertahan tahan sedih ini
tumpah melimpah
di kolam kolam.

Wednesday, June 15, 2011

SEPATU KACA SEPATU CINTA
















Resah hati meniti hari
dalam hitam malam
semakin tenggelam bulan
meraba raba wajah sedih dulu
di sudut sunyi puisi
yang kau tinggalkan
segala indah kata kata
bersama wangi
taburan bunga
aku merinduinya

kudengar jentayu merayu
memanggil nyanyi hujan
hujan yang mungkin tiba tiba
datang lagi
pada kuning daun
beterbangan
rapuh ranting usia
berguguran
Sepasang angsa putih
mesra di kolam
masih menanti

aku mencari pagi
pagi yang mungkin tiba tiba
mimpi datang menjelmakan kamu
di hijau perkebunanku
terlukis wajah di lamunan
bersama secebis kenangan
masih kugenggam
singkat waktu untuk bertanya
tercegat terpaku
bersama indah kilauan
sepatu kaca.

MERCU TANDA CINTA


Pantai Kemasik
kau hamparkan selendang
putih kekasih
di pantai kerinduanku
meresah gelisah
bertanya
antara celahan batu
bernyanyi sayu
meruntun hasrat
mungkin tidak kesampaian
hanya kenangan
percintaan
menjadi mercu tanda
di tengah lautan

aduhai ombak
selimutkanlah sakit luka ini.

Tuesday, June 14, 2011

BACA PUISI SELAMATKAN BOSNIA


Badan Bertindak Bosnia, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Monday, June 13, 2011

TELAH HITAM HAGUS TUBUH INI

Tidak aku ingin hidup
dari jiwa lebur
tidak aku ingin
luruh ansur beransur
pahit rasa ini
telah lama kukemam
diamku ada api
di dalam dada
api semangatku
yang kian menyala
aku ingin membakar
deritaku yang dulu
telah hitam
hangus tubuh ini
aku ingin mewarnakan
indah hidupku yang baru.

Wednesday, June 01, 2011

WAJAHMU TERLUKIS DI SANUBARI

Aku akan terus berdiri
di bawah pohon ini
aku sering mengharapkan
kekasihku itu datang lagi
walaupun sekadar bayangan
ataupun hanya bisik bayu
tanpa kata kata

aku ingin terus dihanyutkan
dengan segala igauan
tentang sekuntum bunga
dan hujan yang datang
tidak menentu musim berganti
kesayuan semakin melebat
sepanjang hari setiap waktu
sesungguhnya
saat ini wajah kamu
terlukis di sanubari

aku akan terus menunggu
sehingga hilang merah
tenggelam matahari
malam datang berubah
menghantar selimut
mimpi indah

kekasihku
mana mungkin aku lupa
sewaktu berputik itu bunga
pagi cerah langit biru
hijau rumput di padang padang
jatuh terbang rama rama.

Thursday, May 19, 2011

SEKEPAL KASIH

Ya Ilahi Ya Rabbi
limpahkanlah padaku
indah ilham
cantik kata
selembut sabda nabi
sepantun bujuk bidadari
bahasa alam
mengupas ilmu
tersembunyi

jadi hiasan
sekepal kasih
tanda sayang
tanda ada
penyambung rindu
jadi ingatan padaMu
sentiasa

jika lahir ia mumbang
lain condong arah tumbang
ampunilah segala salah
dari lahir setiap patah
hamba hanya sekadar pengubah
menghias sunyi
pengubat gundah
amin.

Wednesday, May 18, 2011

SESEKALI AKU SINGGAH

Sesekali aku singgah
tapi tetap diam membisu
sekadar melihat warna alam
berubah tumpah
hanya sekadar ingatan tumbuh
kerana aku bukanlah liar pohon itu
sepanjang musim berbuah
melebat ranum meluruh

aku bukan siapa siapa di sana
sekadar melintas
terhalau malu
lalu berlalu pergi
aku hanyalah ombak
yang bekejaran di laut
aku hanyalah padang jauh
lenyap suara memanggil
aku hanyalah pengembara
mencari teduh perhentian
pohon rendang

semakin lama lupa
kian menghilang
aku hanya ingin di hanyutkan rindu
aku melukis senja sedih dulu
menulis bait bait puisi indah untuk mu
terpaut kasih alam
di kepung cinta Ilahi
tertidur terlena
di bawah taburan bunga

kau lah kekasih
dalam kehijauanku
mengingatimu
salahkah aku
sesekali aku singgah
menjahit luka sendiri

bukan kerana sunyi begini
bukan milikku segala indah
bukan niatku seburuk itu
lihatlah luka ini
selamanya tidak pernah henti
menitiskan darah.

Tuesday, May 17, 2011

SKETSA CINTA PENGEMBARA

Aku tidak pernah lupa
wajah cinta
aku tidak lupa
biru kerudungnya
aku masih rindu
pekat mata hitam itu
bila ia akan terpejam
lelap lena
dalam dakapan

rindu pada hijau perkebunan
sungai jernih airmata
mengalir jauh kesedihan
anak anak ikan berlompatan
tidak pernah lupa kamu
kau yang pernah datang
terpaku di tengah kolam
teratai tumbuh berbunga
pernah merah luka luka
sakit berbekas ke dasar hati
lemas meronta

aku tidak lupa kekasihku
indah mimpi mimpi
hanya kamu di kegelapan
pengantin malamku
berselimut malu
bukan sekadar ilusi
sketsa tanpa warna
kupersembahkan
bunga bunga luhur jiwa
sekepal harapan
untuk selamanya

hanya kamu yang ada
berbekas di dada
berbisik di pantai
membelai lembut dedaun
berarak di langit
di usung teduh awan mengebu
memayungi gunung
menyusuli lembah
resam kehidupan
meniti senja
yang semakin meranum
kelewatan waktu
hanya kamu yang tahu
dari mana
datang indah bunga

kau di mana mana
memanggil aku pengembara
mencari indah kamu
merata rata.

Wednesday, May 11, 2011

DEWAN SASTERA MEI 2011




Puisi Sandarkan Diri Ke Dinding Ini - Karya: A. Ghafar Bahari.