Friday, January 15, 2010

KEKASIHKU MAHAKARYA CINTAKU

Terima kasih kekasihku
kerana memberikan waktu
untukku melihat senyum kekasihku
bunga bunga tidak henti berkembang
dan burung burung tidak henti terbang
ombak hati bergulung indah
resah melebarkan selendang putihnya
ke pantai rindu

alangkah indahnya maya
terlukis indah
dalam imaginasiku
perkasihan gerhana
mentari dan bulan
akan terus ku lukiskan
bicara hatiku ini
buat dirimu kekasih
sebuah mahakarya cintaku

Setiakasihku
hijau pagi ini aku pun bangun
dengan segala indahnya
dari seluruh warna yang ada
dengan segala kekuatan
melimpah ingatan terhadapmu
mula melebat bagai hujan
membanjiri sunyi hati
pelukis ini.

3 comments:

setiakasih said...

salam GOPA,
Aku membaca bagai mendengar resonansi jiwaku sendiri.
Mungkin aku cuma perasan.. :)

setiakasih said...

hujan suria
beauralis mencanting hangat
keemasan warna
bagai syurga itu menuruni bumi
menyentuh kakimu
berangkat segera ke langit asmara

pemandangan
mengatasi segala keindahan di atas keindahan
tiada tara
rasa dan jiwa
akal tidak terjangkau
akan betapa di rela
korban kerana cinta

sepi seketika
bukan tanda berpatah kemudi
melipat layar
menanam benci
pada semi pohon bunga lestari cinta
yang baru kenal kucupan udara
dan pelukan hijau

menyendiri
bukan tanda dendam
mendasar ke dalam teras hati
yang bangkit menjadi amarah
itu
tidak pernah

tunduk
tidak tertentang tusukan mata
yang darinya terpancar
segala jalur sutera kasih
yang damai lagi menghangatkan
jiwa
yang penuh jenuh kegersangan
(dengan izin)

kepada akukah kau melabuhkan jemalamu
melangsai lelah siang

kepada akukah kau sirami denai perkasihan rindu
menaburkan kuntuman setia
tika tibanya
saat gerhana

pelukis yang menyalin desah nafasku
tanpa jeda itu
adalah kamu
yang mampu mencurahkan warna-warna
kebahagiaan
yang pernah terhapus dalam daftar kata hidupku
hingga aku khayal
dalam pelukan prosa puitis
bermelodikan romansa estetika

sungguh kau juga
memaknakan bitara.

GHAFAR BAHARI said...

Kubaca puisi indahmu
satu baris ke satu baris
dengan tenang
agar dapat aku mengerti
akan bisik hati mu sekarang.
segala indah ini
mula terpancar jua dari matamu
walaupun aku sedar luka itu menuntut jarak waktu
bersabarlah dan tenangkan hati
doa ku sentiasa mengiringi

puisi puisimu
membuat jiwaku kini berbunga
sehingga aku merasa hari hari yang kulalui begitu indah
bahagia

puisi puisi mu
sentiasa kutunggu
cuma aku juga mungkin lewat
membalasnya kerana kerja kerja lukisanku seharian

semoga aku harap
kau akan sering
menjenguk ku ke sini
aku sentiasa menanti.