Tuesday, March 30, 2010

HUJAN PUN MELEBAT SAYANG

Kekasihku
hujan turun lagi
tempias di jendela
dentuman guruh
memanggil di kejauhan
aku memanggil
namamu perlahan lahan
tapi yang kedengaran
hanyalah deraian hujan
yang menangis
bercucuran

kurindu kamu
seperti lebatnya hujan
bagai buah buah yang masak
dan daun daun yang bertebaran
kemerahan kekuningan
dihanyutkan waktu
ku lihat lembah hijau kita yang jauh
subur dengan airmataku
melimpah sehingga
bunga bunga kecil pun
ditenggelamkan sedih

kekasihku
gelap segalanya
yang kupandang
apa yang bakal berlaku
di manakah wajahmu
di manakah senyummu
hingga saat ini segala kesakitan
mula menyerbu
bertanya apa khabarku
kebimbangan
kehilangan

kekasihku
mungkinkah
suatu waktu
kita akan dapat bertemu
dan aku dapat melihat
matamu berkelip
dan bibirmu yang ranum
bergerak berkata kata
berbisik.

Wednesday, March 24, 2010

UNTUK SEBENTAR

Kurindu kata dari bibirmu
melata menjalar ke pagi
lalu berputik berbungakan mentari
kudengar desah angin
menghantar khabar
di keresahan malam
kekasihku bagaimana di sana
gelisah tertunggu terang
di kekabus
berwajah bulan

betapa kalutnya aku
di celah resah tugasan
demi anak bangsa
yang begitu mendesakku
dengan arahan
tiba tiba datang

untuk sebentar
aku harus pendamkan semua
kerinduan tertangguh
di helaian waktu
dengan sabar
demi cinta yang teguh
sore ini

maafkan aku sayang
aku juga keresahan
lantaran itu
alangkah payahnya
memberi alasan
apakan daya
kerana aku terlalu di perlukan
untuk membantu mereka
dengan sepenuh harapan
hingga hasratku pun tertahan.

Monday, March 22, 2010

KEKASIHKU NAMA INDAH ITU

Betapa indah nama itu
aku sudah tidak tahan lagi
sebak dadaku
membilang anggur
menghitung embun
menyentuh hijau daun
pasti menitis tumpah
mencurah sayuku
melimpah padaMu

Engkau yang lebih tahu
aku ingin bernyanyi merayu
pimpinlah lah aku
insan kerdil ini
meredah hari muka
dengan hikmah NurMu.

Sunday, March 21, 2010

HUJAN PANJANG DI LAMUNAN

Hujan malam ini
mengimbas jauh
merancak di lamunan
sebuah daerah indah
yang telah lama kutinggalkan
daerah hijau itu
sebuah lembah yang subur
dengan kabus dingin di lereng bukit
masih segar dalam kenangan
sawah, dusun, kebun getah
kolam ikan

pantasnya waktu berlari
meninggalkan pondok usang sepi
berlantai buluh
ibu, saudara mara
teman teman
tidak sama dengan resam kota
bersimpang siur
mengejar resah sendiri
kekalutan hingga dinihari
masih riuh

ya cuma malam ini
ada sedikit ketenangan
mendengar hujan bernyanyi
lalu aku berbaring di lantai
kenikmatan dulu
kurindu desir bayu
walau dingin tidak berbaju.

Saturday, March 20, 2010

KUCINTA SEMUA

Hanya kata kata
bermain dengan kata kata
tidak lebih dari itu
harus indah kata kata
dan yang pentingnya harus
menyintai semua
dengan indah kata kata
sekelian alam pohon pohon
sekelian yang ada di laut
sekelian yang ada di langit
harus tertip
berlembut

bukan cinta dia yang kukejar
aku hanya mencari luka
bukan cinta nafsu yang kudamba
tapi aku hanya ingin tahu
sakitnya sedalam mana derita
tidak suka
mestikah kau benci
sehina hinanya

aku hanya bertanya
pada kebencianmu
dan aku sabar menunggu
bukan untuk diterima
aku hanya ingin
dicaci dihina dia.

KEKASIH YANG UTAMA MAHAKARYA

Kekasihku
telah Kau tiupkan
ruhMu keatas ubun ubunku
Kau di dalam nafasku
di dalam diriku
yang menyambungkan cinta kita
sepanjang hayat nyawa
dengan sebenar benar ikatan
penjagaan


Kekasihku
Kau di dalam hatiku
melimpahkan cahaya keyakinan
kekaguman
dengan apa yang kau perlihatkan
dari mata hatiku yang buta
padaMu lah pemegang hak dan janji
cinta rahsia seluruh alam
pada cinta yang pertama
penuh dengan segala kehebatan.

Friday, March 19, 2010

KEKASIHKU JUZUK JUZUK CINTA

Juzuk juzuk cinta
betapa indahnya kau lagukan irama
pada bayangan sepotong nama
dan pada harumnya setiap lembaran
sehingga terpancar mentari
ku nikmati meriahnya pagi
seolah olah
aku di longgokan seribu bunga
anika warna
melimpah haruman

apakah mungkin aku miliki
sekeping hati sesuci ini
yang sering kudambakan kini
buat menemani mimpi malam nanti
di daerah perkasihan
luar biasa

juzuk juzuk cinta
kalimah kalimah kekasihku
setiap detik kutunggu
utus hantaran bayu
ahh betapa gelisahnya
senja merah ranum ini
menitis rinduku ungu.

DI HENTIAN

SEBELUM INI KAU DAN AKU

Sekarang
badanku dipenuhi berbagai warna
sebelum itu
aku bersandar ke dinding basah
sebelum itu
aku bersandar rasa ke dindingmu
sebelum itu
kau kurindu di setiap senjaku
sebelum itu
kulukiskan indahnya semua cinta
sebelum itu
mendengar kamu bersuara
sebelum itu
aku rindukan Dia
sebelum itu
aku bergayut pada tali Ilahi
sebelum itu
aku sepatutnya sudah tiada
sebelum itu
kita mungkin pernah berjumpa.


* Mengimbas kembali kenangan di hentian bas, depan Panggung Ekperimen Ungku Aziz,Universiti Malaya. Aku sedang merokok di situ, seorang gadis manis dan comel melintas sambil berlalu dan mencemik sambil mengibas ngibaskan hidungnya seperti rimas dengan asap rokok, walau pun agak jauh.

Thursday, March 18, 2010

HUJAN DATANGLAH

Hiba sungguh sungai laraku
mengalir laju
mengapa begitu mudah
daun hijauku tersentuh
ketika tari alam
berlenggang lembut
tersimpuh

hujan datanglah
meriahkan lah sakit ini
dengan tikaman pedangmu
sebanyaknya ke dadaku.

KEKASIHKU ITU INI DIA

Kekasihku itu ini Dia
yang menyelinap
di dalam dadaku
turun naik
berkejaran rindu
di urat- urat darahku
deru memburu
kalimah indah
juzuk juzuk cinta
hanya Dia
bertaut rasa
bergetaran
ke hujung nyawa

kekasihku itu ini Dia
aku melihat Dia
aku cermin Dia
aku itu Dia
Dia melihat aku
aku bayang Dia
Dia itu aku
hanya Dia yang memuji Dia

semua didalam satu
satu didalam semua
kekasihKu itu menyatu
tenang aku mendakapNya
berpinar alam
kenikmatan
keberkatan
cahaya di atas cahaya
rahsia di dalam rahsia
di mana segala aibku
juga rahsia
tersimpan
terjaga.

Wednesday, March 17, 2010

BEGINI BARANGKALI AKU

Hanyalah aku
sudah begitu jauh
belayar sendiri
hilang hanyut
di lamunan rindu

mungkin aku
bagai sisa terbuang
karam tenggelam
meronta lemas
berkubur tanpa nisan
lenyap di dasar lautan

hanya aku barangkali
bernyanyi sendiri
hingga luka luka ini
hilang rasa
kering sendiri
tidak berdarah

ternyata begini
barangkali aku
harus melukiskan luka
harus menuliskan duka
sehingga
semuanya hilang sendiri
di kenyataan pasti
dikupas hari.

HANYA PELUKIS JALANAN

Kekasihku
betapa tenggelam aku
di lamunan jauh
malam ini
melukis aku dari pekat warna
sunyi puisi pun
diam tersisip di laci

terhenti aku mengenangkan
begitu jauh kembara hatiku
menghayalkan istana mimpi
di ribaan seribu puteri
mana mungkin kumiliki
segala indah percuma

hanya lukisan
penuh lakaran
garis garis kehidupan
sisa sisa pengalaman
begitulah hayalan
seorang seniman jalanan
meniti tebing
kolong dalam
menunggu jatuh

sehingga senja merah ini
menutupkan mata
dan aku tengelam di dalam hitamnya
melukis aku di kegelapan
gerimis hatiku sendiri
tersaring di cermin rasa
di kejauhan
sedalam dalam
meratap hiba.

Monday, March 15, 2010

KEKASIHKU BUKALAH PINTU PINTU

Kekasihku
maafkanlah aku
aku di jalan yang sedikit keliru
walau seberat mana pun
tidak terkesan padaku
sakitnya luka itu
kerana sentiasa selamanya
telah tertumpu padamu
cintaku sebanyaknya
hasratku redza
keasyikan

kau kekasih segalanya
yang menjadikan tiada kepada ada
yang menjadikan sunyi
kepada indah
hingga aku dapat
berbicara padaMu
terus mata tanpa batas
dan pernah kutanyakan
apa bezanya cinta itu

kekasih berilah aku
gerak pandu
jelas isyarat
sehingga bulan dan bintang
saling berpandang
apa yang bakal berlaku
apa yang sudah tersurat
bukalah semua pintu pintu
ketajaman

kerana selepas ini
aku sudah nekad
aku tidak peduli lagi luka luka
aku harus bangun menyusun rentak
perjuangan seterusnya
telah ku persiapkan
angkatan putih
tentera malaikat.

Friday, March 12, 2010

IZINKAN RINDU INI

Izinkan aku
mengutip rindu sarat ini
setangkai bunga indah
di kesegaran pagi
harum mewangi
berpanjangan

benarkanlah aku
merenung tajam matamu
di kesibukan lalu
sekilas pandang
sedalam dalam
sejauh jauh
hantaran

agar aku tidak lagi gelisah
dalam sunyi terlantar
oleh tikaman rindu
didera jam dan waktu
lihat lah di ruang menanti
berbaris resah rinduku menunggu
merayu kekasihku menoleh ke sini
sepuas puas nya
menekap diingatan dihati.

Tuesday, March 09, 2010

AKU SAYANG IBU DAN AYAHKU

Aku sayang ibu dan ayahku
walaupun...
kepala aku hampir pecah
dipukulnya
walau disiksa
bermandi darah
dibantainya
setelah diikat di tiang
satu kampung dikejarnya aku
dengan parang
hidup hidup
mahu dicincang

tapi aku tidak pernah melawan
sehingga aku tidak tahan
aku pun pergi
cuma untuk berjauhan
tapi aku pulang juga
memangku mereka diribaan
disaat saat terakhir
mereka akan pergi
mengadap ilahi
dan aku pasti
sentiasa memaafkan
kubisikan kalimah syahadah
diteliganya
dengan linangan airmata

tapi anak anak sekarang
meski pun tiada seekor nyamuk
pun yang berani hinggap ketubuhnya
ketika kecil dulu
ketika dia tidur dengan aman
makan bersuap
kecilnya dimandikan
diberinya didikan agama
di sekolah secukupnya
dan di dalam susah bapanya
sehingga harus meminta minta
belas kasih merata rata
hingga hilang tebal malu mukanya
hingga besarlah dia
dari sakit ibu bapanya

bila dia sudah besar gagah
mereka sudah berani
mencabar menengking bapa sendiri
ajak berlawan
mahu disepaknya ketepi
begitulah anak anak akhir zaman
ibu ibu yang melahirkan tuan
di rumah mereka sendiri
menjadi tuan pemerintah
pengarah pengarah

hebatnya anak anak akhir zaman
tidak ingatkah mereka pada lautan api
lautan darah dan nanah
yang bakal direnangi nanti
anak apakah ini.

Sunday, March 07, 2010

BATAS WAKTU

Kekasihku
Seandainya lukisanku
tidak lagi berwarna
dapatkah kau baca
lakaran hakikat sebenarnya
sentuhan hitam putihku

seandainya puisiku
tidak lagi seindah dulu
dapatkah kau rasa
apa yang terbuku di hatiku
pohon rendang itu
mungkin tidak lagi berbunga

Kekasihku
bersabarlah demi cinta ini
semua ini hanyalah sebahagian
dari keterbatasan ruang waktu
yang sering memburuku
dengan detik masa
yang begitu cemburu
mahu merantai kita
dari seluruh arah
tangan dan kaki
bilik ke bilik
kotak ke kotak

tapi...
mampukah mereka menguji
merubah ketentuan Ilahi
yang sekian lama tertulis
indah dan tepatnya janji.

Friday, March 05, 2010

HAMPARAN HATI

Kekasih
Kuhamparkan selendang putih
seputih hatiku
sepanjang pantai ini
untuk kau jejak
untuk kau berpijak
pelahan lahan dengan rasa

kuhamparkan hatiku juga
untuk kau renyuk sesuka hatimu
apa saja arca yang ingin kau bentuk
campaklah kemana saja kau suka
atau pun sekadar hiasan
di sudut kecil hatimu
yang tidak membawa apa apa makna
namun tetap kerelakan
berbagi sakit
berbagi indah

kerana menyintaimu...
sesuatu yang tidak mungkin berlaku
akan pula jadi tidak mustahil berlaku
atau mustahil sekali untuk kita bertemu
walaupun dekat
kerana dekat itu akan membuatkan
aku lupa siapa.

KEKASIHKU APA ITU CINTA

Cinta sebenarnya yang menamakan
hamba kepada kekasih
rindu sarat kasih
tersambung
terputus
dari hujung lidah
ke hujung nyawa
di mana iman
akal nafsu dan hati
bertempur hebat
meronta

kekuatannya
bukan pedang tapi tali.

Wednesday, March 03, 2010

BAGAIMANA AKU TERPIKAT PADAMU

Kekasihku
Pertama kali mengenalimu
setelah bertubi tubi
diserbu puisi berbunga indah
tercari cari empunya diri
siapakah gerangan dia
di malam dingin
begitu setia menanti
terlena sendiri di unggun apl
di pantai bersorak
lincah mengacah ombak
burung burung camar
leka menyambar
kata kata cinta
terbuang

Kekasihku
pertama kali melihat
matamu berkaca
jerih menatang hiba
menyimpan seribu rahsia
di dermaga sepi
kapal kapal berlabuh
pulang dengan hampa
bersaksikan mata mata ikan
sisik sisik
hanya tulang tulang
karang karang reput
relai dan hilang

kekasihku
kusimpan gambar itu
gadis berbaju hijau
kerudung biru
luka luka nya bernanah
menjadi barah
disebalik senyum
bibirnya yang merah
terbakar oleh kata
rindu lelahnya

puisi puisi rayu
tidak lagi bermakna
berselerakan
di kaki lelaki itu
yang keras bagai batu
bagai umang umang
hanya senda
berpindah pindah
cengkerang

apa salahnya masih pada kita
atau kita yang terlalu memberi
hingga sanggup menyiksa
diri sendiri

kekasihku
ketika mendengar rintih hatimu
ketika itulah
aku merasai sakitnya juga
aku mula tersentuh
terpaut terpikat padamu
dari rasa dan hasrat
membantumu
membimbingmu ke daerah
damai hijau Kekasihku
yang mengaturkan perjalanan
cakrawala bumi bintang bintang
raja segala cinta
cinta mula cinta yang pertama
yang mempertemukan rasa
atas rasa

ketika airmatamu
bercucuran
turun bagai hujan yang melebat
seiring dengan sakitku
seperti kesetiaan yang sama
yang sering kita pertahankan
penuh kesabaran
hanya tinggal sisa
namun indah mimpi mimpi
tidak lagi dihargai kini

kekasihku
kau memang comel dan cantik
serba sederhana
tidak rendah tidak tinggi
dengan matamu yang sedikit sepet
itu hanya kebetulan dengan seleraku
tapi kelembutanmu
kesopananmu
dari indah tutur kata
itu yang lebih kurasakan
yang lebih memikat hatiku
ketika kau tiada
terasa hidup ini terlalu sunyi
tanpa puisi kasihmu
tanpa gurau sendamu
hilang seri maya ini
terkedu

kekasihku
kau sesuatu
yang tertulis dihatiku
sesuatu yang sangat kurindu
yang mengerti tentang rasaku
dan aku ingin selalu bersama
merawat lukamu
bersajak bercerita
di daerah perkasihan kita
lelaplah di ribaanku
helalah nafas lega
dari lapang dada
udara segar
damai

Kekasihku
alangkah cantiknya matamu
yang sedikit sepet itu.

Tuesday, March 02, 2010